Gambar hiasan.

ANTARA salah satu “glamor” yang saya sering lihat sejak zaman kanak-kanak saya ialah betapa hebat dan “cool”nya seorang perokok. Memang ada gaya dan style.

Kita dibesarkan dengan imej sedemikian dan ramai antara kawan saya mula merokok dan akhirnya mereka ketagih kepada rokok. Kini dalam umur 50an, ramai masih lagi merokok tetapi yang sedihnya, kita kehilangan beberapa kawan kerana kanser paru-paru.

Sebabnya – ROKOK!

Jadi apa yang kita patut buat? Duduk dan nasihat sahaja anak-anak muda kita supaya jangan merokok? Berkesankah ini jika ramai bapa juga masih merokok depan anak mereka? Kita kini berada di ambang satu destinasi baru – persekitaran bebas rokok, tetapi adakah ia praktikal?

Tidak boleh dinafikan bahawa rokok membunuh dalam pelbagai cara. Di Malaysia, kanser paru-paru adalah yang ketiga tertinggi dan lazimnya merokok adalah puncanya. Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, kematian lebih 27,200 rakyat Malaysia dikaitkan dengan tabiat merokok mereka.

Kira-kira 15% daripada jumlah itu adalah bukan perokok yang mati akibat terdedah asap rokok daripada perokok tegar. Laporannya mendapati tabiat merokok wujud pada 21.3% di kalangan mereka yang berumur lebih 15 tahun dan jumlah perokok dianggarkan 4.8 juta orang.

Antara mereka, 12.3% berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 19 tahun. Jika dilihat secara statistik, rokok adalah pembunuh yang lebih besar daripada Covid-19.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bercadang untuk mengharamkan merokok untuk generasi akan datang.

Ini akan dicapai melalui larangan penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang lahir selepas 2005.

Dengan harapan untuk membentangnya di Parlimen tahun ini, ia dikatakan akan membawa kepada ‘generasi penamat tabiat merokok’. Konsep ini akan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.

Saya sangat setuju dengan inisiatif ini kerana akan tiba masanya generasi akan datang tidak lagi tahu apa itu rokok. Beliau juga bercadang untuk mengawal selia e-rokok dan produk vape, yang akhirnya akan membawa kepada tabiat berhenti merokok.

Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat 27,000 kematian disebabkan tembakau setiap tahun di negara ini seperti penyakit jantung, kanser dan strok.

Khairy juga menerangkan bahawa inisiatif ini sama seperti model yang digunakan di New Zealand yang disambut baik oleh rakyat negara itu.

Tetapi kita tidak patut terlalu beria-ia dalam hal ini kerana jika kita terlalu tegas dalam ini, akan wujudlah satu sistem baharu untuk mengaburi kita semua.

Jika diharamkan sepenuhnya, penyeludupan mungkin akan mula berleluasa dan inisiatif ini akan berakhir seperti ramai lagi yang telah gagal.

Dadah pun diharamkan di negara ini tetapi ia masih wujud dan menjadi musuh negara No 1. Jadi, fikirlah sepenuh-penuhnya sebelum mengorak sebarang langkah kerana kejayaan atau kegagalan dalam hal ini akan digunakan sebagai timbang-ukur dalam program-program masa depan.

 

Mustapha Ahmad
Setapak, Kuala Lumpur