KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf berhubung kenyataannya yang merendahkan tugas dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Gopalakrishnan Subramaniam.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, permohonan maaf tersebut dilakukan atas semangat kebersamaan bersama rakan PKR selain atas kekhilafan yang dilakukan beliau.
“Saya akui posting lawatan saya ke Ulu Tiram telah merendahkan tugas dan tanggungjawab yang dibuat oleh rakan ADUN Keadilan (PKR),” katanya menerusi akaun Twitter, hari ini.
Permohonan maaf dikeluarkan susulam kenyataan Ahli parlimen Muar itu sebelum ini yang menyatakan komuniti India di Ulu Tiram, Johor mengadu kepimpinan di kawasan tersebut tidak ambil endah mengenai kebajikan rakyat.
“Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.
“Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai.
“Tak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam permohonan maafnya, Syed Saddiq berkata, Muda tidak sempurna, begitu juga beliau.
Tambah beliau, sesi melawat dan bertemu rakyat di Ulu Tiram adalah satu proses untuk beliau dan Muda belajar lebih banyak mengenai kebajikan rakyat.
Katanya, di Parlimen Muar, beliau juga tidak sempurna dan banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan.
“Teruskan menegur kerja dan ucapan saya. Yang baik itu datang dari yang Maha Esa.
“Yang khilaf itu saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette