KUALA LUMPUR – Majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan cadangan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 kerana mereka masih dalam keadaan kelam-kabut akibat kejutan ekonomi berpunca daripada Covid-19 dan kesan buruk akibat banjir besar baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman J.P. berkata, lebih banyak usaha harus dilakukan ke arah pemulihan perniagaan sektor swasta dan mengawal peningkatan kos produk dan perkhidmatan.

”Kita harus ingat bahawa kebanyakan perniagaan Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), 98.9% berada dalam kumpulan ini. Jadi, apabila kita bercakap tentang gaji dan kos, kita mesti memikirkan kelangsungan hidup dan kemampanan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, sedikit kenaikan kos akan menyebabkan PKS lebih menderita hingga menyebabkan operasi ditutup, apa lagi kenaikan kos untuk gaji minimum antara RM300 hingga RM400 sebulan daripada gaji minimum sedia ada.

Hakikatnya, masih ada majikan sedang menghadapi cabaran yang teruk untuk kekal mampan.

Senario ekonomi yang suram tidak membenarkan sebarang ruang untuk kenaikan gaji minimum sedia ada, justeru penting bagi pembuat keputusan untuk berhati-hati sebelum melaksanakan sebarang kenaikan gaji minimum negara, tambahnya.

Syed Hussain berkata, cadangan kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,500 akan membunuh perniagaan kerana negara masih dalam mod pemulihan ekonomi.

Ini kerana, kenaikan gaji minimum RM1,500 akan menaikkan kos barangan serta perkhidmatan dan kos operasi pasti akan meningkat.

”Ini bukan masanya untuk melaksanakan sebarang kenaikan gaji minimum.

”Kenaikan itu hanya akan membunuh perniagaan dan meningkatkan pengangguran. Hutang akan meningkat dan perniagaan akan sukar untuk membayar pinjaman mereka.

”PKS akan benar-benar menderita sehingga ada peniaga berkata, lebih baik bagi mereka untuk memindahkan operasi mereka ke negara ASEAN lain, yang mana kos keseluruhan menjalankan perniagaan adalah jauh lebih murah,” ujarnya.

Tambah beliau,sebahagian besar daripada kenaikan gaji minimum RM1,500 akan disalurkan kepada buruh asing kerana pekerja tempatan sudah pun dibayar gaji lebih tinggi daripada RM1,500, sekali gus menyebabkan aliran keluar wang akan terus meningkat.

Dianggarkan pekerja asing, secara purata, menghantar semula sejumlah RM4 bilion tambahan setiap tahun untuk setiap kenaikan RM100 dalam gaji minimum.
Justeru, peningkatan sebanyak RM300 hingga RM400 akan menyebabkan tambahan aliran keluar antara RM 12 bilion hingga RM 14 bilion setahun.
Dianggarkan pada masa ini pekerja asing yang sah menghantar kira-kira RM 34 bilion setahun melalui saluran rasmi ke negara sumber dan jumlah kiriman wang tahunan sekurang-kurangnya akan meningkat dua kali ganda jika kiriman wang walaupun saluran tidak rasmi juga diambil kira.”

Lagipun, beliau mendakwa pekerja yang gajinya sekarang jauh melebihi gaji minimum boleh hilang motivasi tanpa pelarasan gaji.

“Sebarang kenaikan gaji minimum akan memberi manfaat kepada pekerja yang gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum negara yang baharu dan sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing” tambah Syed Hussain sambil menyatakan kenaikan gaji minimum kadar kepada RM1,500 bukanlah penyelesaian untuk pekerja mendapat gaji yang lebih tinggi.

Sebaliknya, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk mengawal harga barangan dan perkhidmatan asas serta mengatasi kenaikan kos sara hidup kerana gaji dan imbuhan hendaklah dibayar berdasarkan prestasi pekerja dan keuntungan majikan.

Jelas beliau, daripada meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, kerajaan sepatutnya menyediakan insentif automasi untuk memastikan keseluruhan pasaran kerja tidak terjejas dengan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.

Pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja asing pada masa ini adalah pekerjaan yang dianggap kotor, berbahaya dan sukar (3D) dijauhi oleh penduduk tempatan terutamanya kerana persepsi bahawa pekerjaan ini merendahkan dan juga tidak boleh diterima secara sosial.

Melalui penjenamaan semula pekerjaan, pekerjaan 3D, boleh dijadikan lebih menarik kepada pekerja tempatan dan pada masa yang sama mengurangkan keperluan untuk bergantung kepada asing.

”Sebagai contoh, kerja pemungut sampah boleh dijenamakan semula sebagai ‘hygiene associate’, tukang kebun boleh dijenamakan semula sebagai ‘landscape associate’ dan pemandu bas boleh dijenamakan semula sebagai ‘bas captain’.

”Penjenamaan semula pekerjaan harus disokong oleh pengenalan mekanisasi yang lebih tinggi dan teknologi yang lebih baik. Industri sepatutnya
disediakan dengan sokongan dan insentif yang diperlukan untuk automasi dan mekanisasi,” katanya.

Pekerja yang dijangka menggunakan teknologi yang lebih tinggi untuk melaksanakan kerja mereka harus dilatih semula untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan.

Kemahiran yang diperoleh perlu diperakui melalui peringkat Sijil Kemahiran Malaysia sedia ada, yang mana mereka ini akan menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi dan permintaan pasaran akan mendorong majikan untuk memberi ganjaran kepada mereka dengan gaji yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk mereka bentuk kursus vokasional/teknikal yang sesuai untuk kemahiran yang boleh diperakui di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang juga mesti diiktiraf dan disokong oleh semua pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam.

Syed Hussain berkata, gaji pekerja harus dikaitkan dengan kemahiran yang diperakui.

Pada masa ini pekerja tidak berminat untuk mendapatkan pensijilan kemahiran kerana sijil tersebut tidak dikaitkan dengan gaji dan mereka yang berada di bahagian bawah spektrum biasanya dibayar gaji minimum.

Malah, pembezaan gaji antara pekerja tempatan dan pekerja asing hendaklah berdasarkan kemahiran yang diperakui, jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette