Kesesakan luar biasa yang berlaku di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini berpunca daripada peningkatan kes pandemik itu di Melaka khususnya di daerah Melaka Tengah.

MELAKA – Kesesakan luar biasa yang berlaku di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini berpunca daripada peningkatan kes pandemik itu di Melaka khususnya di daerah Melaka Tengah.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kesesakan juga berpunca daripada pesakit yang lebih ramai tertumpu di CAC berkenaan berbanding enam lagi CAC yang disediakan di Melaka Tengah selain masing-masing satu di Jasin dan Alor Gajah.

Bagaimanapun, jelasnya, kesesakan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana pelancaran proses penilaian secara pandu lalu yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.

“Ya, memang kita akui hari ini ada pertambahan dari segi jumlah pesakit positif yang datang ke CAC MITC untuk melalui penilaian sama ada perlu dirawat di hospital, PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19) atau sekadar kuarantin di rumah.

“Kesesakan ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya tidak ramai tertumpu di CAC MITC sahaja kerana kita ada tujuh CAC di seluruh negeri yang masih mampu menampung jumlah pesakit yang hadir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Melaka merekodkan 457 kes baharu positif Covid-19 dengan pecahan Melaka Tengah 278 kes, Jasin (113) dan Alor Gajah 66 kes.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, kesesakan di CAC MITC juga berpunca apabila ramai pesakit lebih selesa terus ke CAC berkenaan berbanding enam lagi CAC di klinik kesihatan yang dibuka.

“Sebenarnya, mereka juga boleh ke CAC Klinik Kesihatan Peringgit, CAC Klinik Kesihatan Tengkera, CAC Klinik Kesihatan Ayer Keroh, CAC Klinik Kesihatan Ayer Molek, CAC Klinik Kesihatan Seri Tanjung atau CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam.

“Di Jasin dan Alor Gajah pula kita ada masing-masing satu CAC iaitu di Klinik Desa Kesang Tua dan Klinik Desa Melekek,” katanya.- MalaysiaGazette