Kamarul Baharin Mansor

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar menaikkan gaji minima dari RM1,200 kepada RM1500 sekarang dan tidak menunggu sehingga akhir tahun 2022.

Ini bagi membolehkan golongan pekerja-pekerja bawahan mendapat keseimbangan perbelanjaan harian isi rumah yang sekarang meningkat dengan amat ketara.

Kenaikan barangan tidak dapat dikawal sehingga barangan kawalan oleh kerajaan dijual melebihi harga kawalan, kata Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya membuat semakan selaras dengan Akta Gaji Minima yang menghendaki kajian perlu dibuat atas gaji minimum.

Isu kadar gaji minimum yang baharu adalah perkara yang menjadi pertimbangan pekerja dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. Pekerja yang dianggarkan 16 juta menunggu pengumuman kadar gaji minimum baharu dengan teliti.

Kamarul menambah, kerajaan perlu mempunyai iltizam dan komitmen untuk merealisasikan kadar baru gaji minimum bagi membuktikan bahawa kerajaan cakna kepada pekerja terutama pekerja bawahan.

”Majikan telah menggunakan alasan bahawa syarikat akan ditutup jika gaji minimum dinaikan adalah alasan lapok kerana alasan yang sama telah digunakan semasa majikan menentang perlaksanaan gaji minima pada 2013.

”Tiada data yang menyokong penutupan syarikat di sebabkan oleh kenaikan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,200 dalam tempoh 9 tahun perlaksanaan gaji minimum,” katanya dalam kenyataan di sini.

Majlis Am MTUC pada tahun 2013 telah mencadangkan gaji minima ditetapkan pada RM1,500 sebulan dan COLA berjumlah RM300.00 sebulan.

Menerusi Akta Gaji Minimum kajian gaji minimum perlu dilakukan setiap dua tahun dan pelaksanaan gaji minima di buat pada tahun 2020, sepatutnya gaji minima baru perlu dilaksanakan pada 1 Januari 2022.

Jika kerajaan ingin melaksanakan kadar gaji minima pada akhir tahun ini maka tunggakan gaji selama 12 bulan perlu di bayar kepada pekerja dan syarikat sedia maklum berkenaan akta gaji minima yang memerlukan semakan setiap dua tahun dan perlu bersedia dengan kadar gaji minimum yang baru bukannya memberi pelbagai alasan terhadap semakan nanti.

Katanya, cadangan kerajaan untuk melaksanakan kadar gaji minima baru pada akhir tahun adalah bertentangan dengan semangat keluarga Malaysia dan isu gaji minimum akan dibawa dalam Mesyuarat Majlis am MTUC untuk dibahaskan dan tindakan yang selanjutnya akan diputuskan oleh ahli Majlis Am kelak.

Dari permerhatian dan maklum balas kesatuan-kesatuan sekerja, kenaikan harga barangan asas makanan naik mendadak bermula pada suku ke empat tahun 2021. Sehingga kini harga barangan asas makanan masih tidak konsisten malah terus meingkat pada Januari 2022.

Lantaran itu, MTUC menggesa Majlis Pemulihan Negara MPN untuk bertindak lebih pantas dalam membendung peningkatan ketara harga barang yang semakin membebankan pekerja-pekerja bawahan.

Menerusi satu kenyataan media Pengerusi MPN bertarikh 2 Disember 2021, adalah difahamkan beberapa Jawatankuasa telah ditubuhkan oleh MPN yang mana di terajui oleh kementerian-kementerian yang bertanggungjawab, malangnya sehingga kini tiada sebarang kesan atau impak yang positif untuk menurunkan harga barang.

”Kecekapan dan kepantasan MPN membuat keputusan dalam mengawal harga barang secepat mungkin adalah amat penting bagi menentukan hala tuju kedudukan ekonomi negara. Sekiranya proses untuk mengawal harga barang terlalu perlahan ianya hanya akan menambah beban rakyat yang semakin tertekan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu. (Kehilangan pekerjaan dan potongan gaji)

”MTUC juga berharap KPDNHEP untuk bertindak lebih pro-aktif bagi mengawal kenaikan harga barangan makanan asas walau pun ianya bukan barangan di bawah kawalan harga. Menerusi laporan-laporan berita sebelum ini di dapati ada kawasan-kawasan yang tidak mempunyai simpanan bahan makanan asas yang cukup untuk di pasarkan. Ini adalah di sebabkan rantaian bekalan yang dikatakan terjejas,” ujarnya.

Kamarul mendakwa, MTUC difahamkan kenaikan harga diakibatkan kekurangan bekalan yang mana pihak pengeluar industri makanan tidak berkeupayaan untuk mengeluarkan produk di akibatkan kekurangan tenaga kerja.

Sehubungan dengan itu untuk mendapatkan pekerja tempatan penetapan gaji minima berjumlah RM1500.00 dengan elaun sara hidup (COLA) RM300.00 sebulan adalah amat perlu untuk di laksanakan bagi menarik minat pekerja tempatan. Dasar gaji minima juga adalah bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam industri.

Sekiranya proses menanggani kenaikan harga barang terlalu perlahan ianya boleh menjurus ke arah inflasi yang serius.

Bagi mengurangkan ‘import’ bahan makanan asas, MTUC mencadangakan sektor pertanian di gembelengkan kembali sepenuhnya dan sebagai permulaan mencadangkan pakej belanjawan tambahan untuk sektor pertanian di pertingkatkan tiga kali ganda untuk tahun 2022.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga perlu memberikan pengkhususan yang lebih serius dan meletakkan industri pertanian ke tahap yang lebih tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast