Poultry dealer, Sazali Roslan showing his empty stall after failing to secure chicken supply at the Dato Keramat Market in Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 07 FEBRUARY 2022 chicken supply shortage
Poultry dealer, Sazali Roslan showing his empty stall after failing to secure chicken supply at the Dato Keramat Market in Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 07 FEBRUARY 2022. Peniaga, Sazali Roslan menunjukkan meja jualannya yang kosong selepas gagal mendapat bekalan ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Isu bekalan ayam ibarat tidak berkesudahan sehingga ada peniaga yang terkesan dan tidak dapat mencari rezeki gara-gara kekurangan bekalan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Dato Keramat mendapati, terdapat beberapa meja jualan milik peniaga yang kosong dipercayai kerana ladang ayam masih ditutup berikutan perayaan Tahun Baharu Cina, selain kekurangan bekalan.

Ada juga meja jualan yang hanya diletakkan beberapa ekor ayam segar kerana itu sahaja bekalan yang berjaya diperolehi oleh peniaga dari pihak pembekal.

Peniaga menunjukkan harga ayam yang ditetapkan kerajaan mengikut harga siling ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2022.

Manakala kesemua peniaga turut dilihat mematuhi harga siling RM8.90 yang telah ditetapkan oleh kerajaan sejak Sabtu lalu.

Peniaga ayam, Sazali Roslan, 54, berkata, ini merupakan kali pertama dia terpaksa berdepan dengan situasi kekurangan bekalan sejak mengusahakan perniagaan tersebut dari tahun 1986.

Jelas Sazali, dia juga kesal dengan situasi yang berlaku ketika ini sehingga membantutkan urusannya untuk mencari rezeki.

Sazali Roslan. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2022.

“Semalam pembekal beritahu ladang (ayam) tutup, banyak ladang-ladang tutup jadi ayam mereka tidak dapat nak bekalkan, mereka (pembekal) tak kata ayam tiada, tapi beritahu ladang banyak tutup.

“Tapi yang peniaga-peniaga lain saya tak tahu lah macam mana bekalan dapat dari mana, tapi saya datang hari ini dan tengok peniaga lain pun tiada (bekalan) ayam sehingga terpaksa beli daripada rakan-rakan.

“Mereka (peniaga) ini beli dengan harga runcit, bukan harga borong bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sedia ada, kalau tidak dapat hantar kepada pelanggan mungkin mereka akan lari dan tidak mahu ambil dari kita lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Peniaga tetap menjual ayam biar pun bekalan semakin berkurangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2022.

Ketika ditanya mengenai alasan lain yang diberikan oleh pihak pembekal, Sazali berkata, mereka hanya maklumkan secara ringkas tentang kekurangan bekalan.

Mengulas lanjut, Sazali berkata, isu bekalan ayam semakin meruncing sejak kebelakangan ini apabila dia tidak berjaya mendapat bekalan seperti tempahan yang telah dibuat.

“Hari Sabtu saya tempah 150 ekor ayam tapi pembekal hanya hantar 70 ekor sahaja dan pada hari Ahad saya buat tempahan jumlah yang sama tetapi hanya terima 30 ekor dan hari ini langsung tiada,” ujar peniaga yang berasal dari Kelantan itu.

Tambah Sazali lagi, sekiranya pihak pembekal tidak dapat menghantar bekalan seperti yang telah ditempah, mereka akan maklumkan lebih awal kepada peniaga.

“Biasa dalam pukul 3 petang (setiap hari) pembekal akan beritahu, kalau tiada bekalan mereka akan maklum awal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Harun Mat, 48, berkata, isu bekalan ayam yang berkurangan telah memaksanya mencari lebih ramai pembekal bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Harun Mat. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2022.

Menurut Harun, kebiasaannya setiap peniaga akan mengambil bekalan mereka daripada pembekal yang sama, namun keadaan tersebut berubah sama sekali selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

“Biasa kita ambil satu supplier (pembekal) ayam dah cukup, sekarang perlu cari dua tiga pembekal lain sebab ayam yang mereka hantar tak pernah mencukupi, macam mereka buat sistem kuota.

“Sebelum ini kita order 300 hingga 400 ekor, tapi sekarang bila order 300 ekor, pembekal hantar 150 atau 70 ekor, jadi saya terpaksa cari lebih daripada tiga pembekal,” katanya.

Kata Harun lagi, hampir kesemua peniaga di pasar tersebut mengalami situasi yang sama iaitu kekurangan bekalan sehingga ada yang tidak dapat berniaga seperti biasa.

Jelas Harun, sekiranya ada peniaga yang mengeluh mengenai harga ayam terhadap pembekal, ada daripada mereka yang memberi kata dua sama ada mahu terus mendapatkan bekalan selepas itu atau sebaliknya.

“Ayam sekarang memang kurang kalau kita merungut pasal harga pembekal akan tanya nak ayam atau kisahkan pasal harga? Kadang-kadang ada yang tak nak turunkan ayam jadi terpaksa ikut sahaja,” ujar Harun.

Bercerita lanjut, Harun berkata, sebagai seorang peniaga runcit, dia amat merasai kesan akibat kekurangan bekalan dan kenaikan harga yang dianggap terlalu mendadak.

Apa yang paling diharapkan oleh setiap peniaga adalah jaminan daripada kerajaan mengenai jumlah bekalan, katanya.

“Kami yang meniaga runcit ini memang terasa sebab ayam datang mahal, selepas itu kerajaan suruh turunkan harga mendadak sedangkan bekalan pun tiada.

“Kerajaan jamin harga turun tapi bekalan mereka (kementerian) tidak jamin ada atau tidak, itu masalah yang kami hadapi sekarang.

“Baru ini saya dengar, kerajaan mahu import bekalan dari luar tapi (mengapa) bekalan masih kurang juga, itu yang kami hairan. Kalau betul ada import luar, takkan bekalan tidak cukup?,” soalnya dengan nada kesal.

Pada 2 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit bagi ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan bermula setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari.

Menurut beliau, harga tersebut kekal sehingga 5 Jun depan iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette