Dr Lee Chin Tian menemani anaknya Lee Hai Bing mengambil suntikan vaksin di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kesedaran mengambil vaksin kepada anak-anak ibarat menghayati perumpamaan “Sembahyanglah sebelum kamu disembahyangkan” bagi mencegah penularan Covid-19.

Itu nasihat seorang doktor perubatan, Dr. Lee Chin Tian walaupun beliau seorang berbangsa Cina.

“Sebab itu saya suka lalu masjid, ayat itu bagus kerana membawa makna persediaan dan pencegahan itu penting kerana lebih baik kita mencegah daripada merawat.

“Sembahyanglah kamu sebelum disembahyangkan itu ibarat kita perlu sedar sebelum terlambat dan kesedaran untuk divaksinkan perlu bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

“Bukan sahaja mengurangkan risiko berjangkit, ia mengurangkan daripada dapat simptom yang teruk daripada Covid-19 jika dimasukkan ke dalam ICU,” kata bapa berusia 35 tahun itu ketika menemani anak lelakinya, Lee Hai Bing, 5, bagi mengambil vaksin di Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan (PICKids) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Dr. Lee juga menyifatkan pengambilan vaksin penting bagi mencegah kompilkasi yang teruk jika sudah terkena pandemik.

Beliau dan isterinya juga pegawai perubatan mengakui kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dengan penglibatan kluster pendidikan di sekolah termasuk di pusat asuhan kanak-kanak.

“Meskipun kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak memang rendah tetapi kena faham simptom Covid-19 untuk budak ada kecederaan kepada paru-paru.

“Jadi, lebih baik vaksin untuk elak dan memang penting. Pengalaman saya sudah nampak banyak nampak kes pesakit Covid-19 memang terkena komplikasi yang teruk,” katanya lagi.

Manakala bagi Nur Fatihah Razli, 31, beliau sanggup memandu sejauh 45 kilometer untuk mendapatkan janji temu bagi Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan (PICKids) di HTAA di sini hari ini.

Nur Fatihah Razli bersama anaknya Adam Firdaus semasa menerima vaksin di HTAA hari ini

Anak nombor duanya, Adam Firdaus Nasarudin, 5, merupakan pelajar Tadika Kolek, Sungai Lembing kelihatan tenang ketika menerima vaksin.

“Daftar atas talian oleh ayahnya dan dihubungi pihak hospital untuk temujanji vaksin hari ini. Rasa bersyukur kerana  kakaknya sudah dapat vaksin, risau pula takut  mudah berjangkit kalau tidak ambil vaksin awal,” katanya.

Sehingga kini di Pahang, seramai 28,446 kanak-kanak daripada anggaran 197,700 bersamaan  14.3 peratus telah berdaftar oleh ibu bapa mereka dalam sistem MySejahtera. – MalaysiaGazette