MELAKA – Hanya dua peratus atau kurang daripada 50 orang daripada keseluruhan 14,500 warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dikesan menolak vaksin Covid-19.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah itu tidak sampai 50 orang berbanding 95 peratus anggota yang sudah melengkapkan dua dos vaksin manakala baki tiga peratus mempunyai alasan kesihatan.
“Ada yang tidak divaksinasi tanpa ada alasan munasabah, ini ada dua peratus, tak sampai 50 orang tetapi kita pergi negeri-negeri untuk memberikan mereka kaunseling, penerangan dan terangkan apa kepayahan yang dihadapi sekiranya mereka tidak divaksin.
“Antara alasan diberikan adalah berkaitan soal agama selain ada yang dipercayai terpengaruh dengan gerakan anti vaksin,” katanya pada sidang media selepas perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil dekat sini hari ini.
Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mohammad Hamdan berkata, sesi kaunseling dijalankan pihaknya memberi kesan positif apabila ada anggota yang mengubah fikiran dan bersetuju mengambil vaksin.
“Namun saya tidak nafikan ada sebahagian yang masih lagi dalam proses kaunseling.
“Selepas kaunseling pertama, kedua dan ketiga, mungkin kita minta dia berikan alasan mengapa tidak boleh diambil tindakan tatatertib dan kita akan pertimbangkan,” katanya.- MalaysiaGazette