Ibu bapa membeli komputer riba sebagai persediaan kemudahan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majoriti mahasiswa daripada golongan B40 setuju agar kerajaan menyediakan komputer riba dan tablet secara percuma kepada mereka.

Ia hasil dapatan kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI berkaitan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia untuk golongan B40 yang dijalankan ke atas seramai 751 pelajar universiti di negara ini.

Menurut hasil kajian itu, 92% responden Setuju agar kerajaan menyediakan komputer riba dan tablet secara percuma kepada pelajar universiti daripada kumpulan B40 manakala baki 8% Tidak Setuju.

Responden ditanya lanjut sama ada mereka bersetuju insiatif itu dipanjangkan kepada pelajar universiti daripada kumpulan M40.

Keputusan kaji selidik itu menunjukkan 61% responden memilih Ya dan 16% memilih Tidak manakala 23% lagi Tidak Pasti.

Ketika ditanya tentang peranti yang menjadi pilihan mereka, 74% responden memilih komputer riba dan 24% lagi lebih memilih komputer tablet.

Sementara 2% lagi memilih peranti lain seperti telefon bimbit.

Bagi mereka yang memilih komputer tablet, 88% daripada mereka lebih mengutamakan aktiviti biasa seperti melayari laman web, menonton video dan permainan komputer, diikuti dengan kegunaan untuk interkasi (87%).

Sementara responden yang memilih komputer riba lebih mementingkan soal ciri (68%) dan dan keupayaan memproses (65%).

”Dengan penemuan ini, kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menyediakan komputer riba untuk pelajar universiti yang layak sebagai pilihan tambahan.

“Inisiatif PerantiSiswa juga boleh diluaskan kepada pelajar universiti dari keluarga M40 yang memiliki ramai adik beradik bersekolah untuk meringankan beban ibu bapa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Undian UCSI, Profesor Madya Dr Pek Chuen Khee. – MalaysiaGazette