KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang cuba terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Jalan Mewah, Ampang Jaya berjaya diselamatkan anggota bomba awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.37 pagi dan tiba di lokasi dua minit kemudian.
Katanya, seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati, wanita berusia 22 tahun itu berada di koridor tingkat 12 dan dipercayai cuba terjun.
“Mangsa berjaya dipujuk sebelum diselamatkan dan diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun punca wanita itu bertindak sedemikian tidak dapat dipastikan lagi. – MalaysiaGazette