Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang kini dalam keadaan siap siaga menghadapi gelombang perebakan Omicron di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan peningkatan kes di Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini susulan berlakunya perebakan gelombang Omicron dalam komuniti.

“Sehingga kini, kes-kes yang dilaporkan adalah membabitkan kategori 1 serta kategori 2A dan jumlah kemasukan ke hospital masih dalam keadaan terkawal.

“Walaupun terdapat peningkatan pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), jumlahnya juga masih terkawal dan pemantauan lanjut adalah diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mesyuarat yang berlangsung petang tadi turut memperhalusi beberapa perkara bagi menangani kenaikan kes Covid-19 di negeri ini.

“Antaranya mewujudkan PKRC swasta seperti di hotel-hotel selain MEC sedia ada kini bagi menampung serta menghadapi peningkatan kes positif yang memerlukan kuarantin di luar kediaman; Pengurusan Covid-19 secara digital menerusi aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, pengoperasian Hotline Pusat Panggilan Covid-19 Assessment Centre (CAC) JKNPP di talian 04 382 7143/ 04 382 7142 kekal beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari malah, hotline lain-lain pusat panggilan gerakan telah siap siaga untuk diaktifkan sekiranya perlu,” kata beliau.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, sebanyak 21 kluster aktif direkodkan di negeri ini dan ia membabitkan sektor perkilangan (4); tempat kerja (5); institusi pendidikan (10); kumpulan berisiko tinggi (1) dan pusat tahanan (1).

“Justeru, umum diseru untuk mengambil suntikan dos penggalak demi perlindungan diri. Bagi golongan kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas, segeralah mendaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang berlangsung kini,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette