KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menafikan dakwaan badan korporat itu gagal mematuhi arahan kerajaan untuk menyegerakan kerja-kerja membaikpulih bumbung pangsapuri Taman Melati yang terjejas teruk akibat ribut dan angin kencang pada 24 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, kelewatan itu bukan kerana sambutan Tahun Baharu Cina, seminggu selepas insiden itu berlaku sebaliknya penghantaran bantuan segera bermula pada 29 Januari lalu.
“YWP menafikan artikel MalaysiaGazette yang dikeluarkan pada 8 Februari 2022 bahawa seorang pegawai sebuah yayasan memberi alasan kerja-kerja baik pulih bumbung pangsapuri itu lewat kerana sambutan Tahun Baharu Cina.
“Ini kerana perkakas seperti kerangka besi untuk baik pulih empat blok, kanvas dan bahan berkaitan telah dihantar ke lokasi pada 29 Januari lalu. Kami juga memastikan barang-barang dihantar sebaik mendapat stok daripada pembekal dan kerja-kerja pembaikan bumbung juga dimulakan serta-merta.
“Pihak kontraktor yang diuruskan oleh YWP juga telah memulakan kerja-kerja pemasangan kanvas serta joining sebelum tindakan baik pulih bumbung dilakukan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir pada sesi penerangan khas berkaitan usaha Tanggungjawab Sosial Prihatin (CSR) YWP membantu membaik pulih kerosakan bumbung rumah pangsa Taman Melati di Dewan Aktiviti Masyarakat Kawasan 4A, Taman Melati, Setapak, di sini.
Semalam, laporan MalaysiaGazette mendedahkan, kegagalan mengikut arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan antara punca kelewatan kerja-kerja membaik pulih bumbung empat blok pangsapuri Taman Melati, Setapak, di sini.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kawasan 4A Taman Melati, Setapak, Mohd Azhar Md Rosdy mendakwa, alasan lewat kerana sambutan Tahun Baharu Cina merupakan antara helah yang diberikan salah seorang pegawai sebuah yayasan di sini.
Menurut Mohd Azhar, kelewatan itu menyebabkan 16 penduduk terlibat kerugian ribuan dek kerana barangan rumah rosak akibat rumah dimasuki air hujan berikutan ketiadaan bumbung selepas insiden ribut dan angin kencang pada 24 Januari lalu.
Dalam pada itu, Zaizalnizam juga menjangkakan kerja-kerja membaik pulih bumbung mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan atau selewat-lewatnya pada hujung Februari ini.
“Ini adalah kerana stok bahan pembinaan bumbung sampai secara berperingkat-peringkat. Oleh itu, kanvas telah dipasang untuk sementara waktu.
“Dijangka juga bumbung yang telah ditempah lebih awal sebelum Tahun Baharu Cina akan sampai dalam minggu ini iaitu seawal Khamis atau Jumaat,” katanya.
Zaizalnizam juga memberi jaminan untuk menggantikan kanvas yang rosak akibat hujan lebat dan ribut pada minggu lalu bagi mengelak lebih banyak barang penduduk mengalami kerosakan.
“Malangnya pada 4 Februari lalu, hujan lebat dan ribut telah menyebabkan kanvas mengalami kerosakan.
“YWP telah mengambil tindakan pantas menguruskan hal-hal baik pulih dan menggantikan semula kanvas tersebut dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette