Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang ahli perniagaan wanita yang menyimbah asid ke atas dua wanita perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas gagal dalam rayuannya supaya hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya berjalan serentak.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Yaacob Md Sam, menolak rayuan Shafiqah Izzati Badrul Hisham selepas memutuskan Mahkamah Tinggi betul dalam memerintahkan dua hukuman penjara, lapan tahun setiap satu secara berturut-turut kerana terdapat dua mangsa.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

Shafiqah Izzati, 25,  mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menyimbah asid yang menyebabkan kecederaan kepada ibu saudaranya Rafzaliza Rafli, 36, dan Nadia Mohd Khalid, 38, yang merupakan rakan kepada ibu saudaranya.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kencana, Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana, Selangor pada  3.30 petang pada 29 Jan 2019.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Shafiqah Izzati bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan dia menjalani hukuman itu serentak yang bermakna dia hanya menjalani hukuman penjara lapan tahun.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari 30 Jan 2019, hari dia ditangkap.

Pendakwaan bagaimanapun merayu di Mahkamah Tinggi, yang mengekalkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan Shafiqah Izzati menjalani hukuman itu berturut-turut.

Dia kemudian memfailkan rayuan terhadap hukumannya kepada Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula perintah Mahkamah Sesyen bahawa dia perlu menjalani hukuman penjara secara serentak.

Kedua-dua mangsa melecur di muka dan badan.

Peguam Jay Moy Wei Jiun yang mewakili Shafiqah Izzati manakala Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar bagi pihak pendakwaan. – Bernama