Secretary-General of DAP, Lim Guan Eng. chopsticks Chinese Malaysian Mahathir Mohamad
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ragu terhadap kenyataan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkaitan kesukaran badan itu untuk membuktikan tawaran wang kepada wakil rakyat yang melompat parti.

Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan melontarkan persoalan tersebut berikutan beliau telah didakwa di mahkamah walaupun ‘tiada wang rasuah ditemukan’ berkaitan kesnya.

“Jika itu berlaku, jadi mengapa saya masih didakwa kerana rasuah walaupun tiada “wang rasuah” ditemui dalam simpanan saya, dalam akaun bank peribadi saya atau secara tunai serta sebarang rakaman audio saya meminta wang.

“Tambahan pula, tidak perlu ada wang tunai sebagai suapan kerana tawaran atau pelantikan jawatan atau kedudukan kerajaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga bersamaan dengan rasuah.

“Mengapa ahli parlimen yang melompat dari pembangkang kepada kerajaan tidak didakwa sedangkan ia jelas untuk kepentingan jawatan kerajaan?” soalnya.

Media sebelum ini melaporkan, Azam mengakui telah mendapat laporan berhubung tawaran wang untuk wakil rakyat melompat parti tetapi ia sukar dibuktikan.

“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” kata  Azam seperti dipetik Free Malaysia Today.

Justeru, Azam berkata, Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempunyai undang-undang berhubung dana politik.

Sementara itu menurut Guan Eng, terdapat lima kes wakil rakyat melompat parti yang dikaitkan dengan rasuah namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

“SPRM perlu tampil dan memberi penjelasan mengapa masih tiada tindakan terhadap lima kes ini,” katanya.

Kes pertama melibatkan kenyataan Ahli Parlimen Warisan Labuan, Rozman Isli pada 14 Oktober tahun lalu bahawa beliau didakwa menerima rasuah kerana keengganannya untuk melompat dari Warisan kepada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kes kedua melibatkan rakaman audio bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menawarkan jawatan dan kedudukan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

“Ahli Parlimen UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa beliau telah menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana ia bercanggah dengan perlembagaan.

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga telah menolak tawaran menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Bhd,” kata Guan Eng.

Kes ketiga, kata Guan Eng, melibatkan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang keluar PKR. Steven mengakui telah dijanjikan jawatan bagi membolehkan beliau membantu membina semula ekonomi negara.

Kes keempat melibatkan siasatan rasuah terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar. Kes bekas pemimpin PKR itu senyap selepas menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Muhyiddin.

Kes terakhir melibatkan dakwaan lima ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail bahawa mereka menerima tawaran untuk melompat parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast