TUDM menerima helikopter AW 139 bagi menggantikan operasi helikopter Nuri.

BUTTERWORTH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima helikopter AW139 menerusi kaedah sewaan dikenali Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) daripada pihak Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini tiga helikopter sudah diterima manakakala sebuah lagi dijangka diterima pada Mei depan.

Jelas beliau, di bawah konsep GOCOM, kesemua kos menyelenggara pesawat berada di bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter tersebut.

Hishammuddin.

Kata Hishammuddin, perolehan Helikopter AW 139 secara sewaan ini bukan sahaja selari dengan perancangan di bawah Pelan Tindakan 2022 iaitu untuk meningkatkan lagi kesiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selaras dengan keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019, helikopter Nuri telah ditamatkan operasi selain bersetuju agar penggantian helikopter Nuri dilaksanakan menggunakan kaedah jangka pendek secara leasing.

“Kaedah leasing ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding melaksanakan pembelian helikopter baharu, malah membolehkan TUDM memanfaatkan aset yang diperlukan dalam tempoh masa yang lebih cepat.

“Penting untuk saya maklumkan, selain kaedah sewaan, pembelian helikopter baharu turut berada dalam perancangan masa hadapan TUDM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Weststar Aviation Services Sdn. Bhd, Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Hishammuddin melihat helikopter AW 139 yang diterima TUDM secara kontrak sewaan di Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu Hishammuddin dibawa mengikut penerbangan helikopter tersebut bagi merasai sendiri kesiagaan pesawat yang diterima.

Menurut Hishammuddin, kegunaan helikopter AW139 secara sewaan bukanlah pertama kali digunapakai kerana terdapat beberapa lagi jenis aset ATM telah dimanfaatkan menggunakan kaedah sama sebelum ini.

Jelas beliau, ia termasuk helikopter Latihan Airbus EC120B dan Flight Simulation Training Device (FSTD) Untuk Kegunaan Kursus Asas Juruterbang Helikopter TUDM.

“Lima unit Helikopter EC120B, satu unit Sistem Simulator. Sewaan Bot Op Pasir merangkumi 10 unit Fast Interceptor Boat (FIB), 10 unit Utility Boat, 10 unit Rigid Hull Fender Boat (RHFB), 10 unit Rover Fiber Glass (Rover).

“Kerajaan memilih untuk menggunapakai kaedah GOCOM kerana ia pendekatan luar kotak yang amat diperlukan terutama ketika tumpuan kewangan terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik ketika ini.

“Menerusi kaedah GOCOM ini, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan.

“Ia juga membolehkan ATM menggunakan aset yang diperlukan lebih cepat. Kerajaan tidak menolak untuk terus menggunakan kaedah sama bagi memenuhi keperluan aset jangka pendek bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, TUDM akan memperolehi 12 helikopter pada fasa 1 RMKe-13 (2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 helikopter lagi akan diperoleh pada fasa 2 RMKe-14 (2031 hingga 2035).

“Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, keperluan spesifikasi bagi helikopter baharu ini tidak akan ditentukan Kementerian Pertahanan, tetapi ‘end user’ sendiri iaitu TUDM.

“Butiran mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette