Spesis Ikan Patin Muncung semakin pupus.

KUANTAN – Spesis ikan Patin Muncung semakin pupus di Sungai Pahang menyebabkan Jabatan Perikanan berusaha untuk mendapatkan induk spesis ikan itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, meskipun harga semasa ikan itu mencecah RM500 sekilogram namun pihaknya bersedia membeli ikan Patin Muncung hidup pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), Jerantut berusaha untuk mendapatkan ikan spesies berkenaan bagi dijadikan induk namun hingga kini tidak berjaya.

“Pelbagai usaha menghasilkan benih Patin Muncung tidak dapat dilakukan berikutan ketiadaan induk, jalan terakhir yang kita lakukan kini ialah dengan cara menawarkan harga yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru beliau menyeru nelayan di daerah Jerantut, Lipis, Temerloh, Bera dan Raub menjual Ikan Patin Muncung hidup kepada jabatan itu sekiranya mereka berjaya menangkapnya.

Menurut Abdullah, kerjasama daripada nelayan darat dapat membantu pihaknya menghasilkan benih ikan spesies berkenaan. – MalaysiaGazette