MELAKA – Jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di Melaka dilihat masih tinggi apabila merekodkan 11,755 kes iaitu 13.9 peratus melepasi paras nasional sebanyak 9.9 peratus.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah direkodkan itu adalah sejak Covid-19 melanda negara setakat kelmarin dengan kluster pendidikan menjadi penyumbang kedua tertinggi selepas kluster komuniti dan tempat kerja.

Menurut beliau, kes kluster pendidikan memuncak setelah sekolah kembali dibuka selain juga kes-kes terpencil yang berlaku di beberapa sekolah namun tidak diklasifikasikan sebagai kluster.

“Angka peratusan ini jauh lebih lebih tinggi daripada kanak-kanak dijangkiti di peringkat Malaysia iaitu 9.9 peratus tetapi Melaka kita 13.9 peratus atau 11,755 kes.

“Ini berikutan apabila sekolah dibuka berlaku kluster pendidikan selain juga kes-kes terpencil yang berlaku di beberapa sekolah namun tidak diklasifikasikan sebagai kluster,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Haji Ahmad Ithnin di Merlimau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, daripada 11,755 yang dijangkiti, penyumbang terbesar adalah kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun sebanyak 7,738 kes.

“Kanak-kanak satu hingga tiga tahun pula ada 3,297 kes, bawah sebulan (73 kes), sebulan hingga setahun (647) selain kanak-kanak berusia setahun hingga tiga tahun sebanyak 3,297 kes.

“Melaka turut merekodkan empat kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun,” katanya.

Ditanya mengenai angka berkenaan yang tinggi, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) bagaimanapun masih rendah.

“Jadi hospital kita tiada masalah kekurangan kakitangan atau doktor pakar untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak berkenaan, kerana paling ramai dijangkiti adalah tahap satu dan dua sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette