Ronald Kiandee

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperluaskan industri tanaman jagung dalam negara bagi menampung keperluan bahan makanan ternakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan duduk berbincang dengan beberapa pemain industri pelbagai subsektor ternakan dan makanan untuk mencari solusi terbaik.

“Kita tahu bekalan jagung untuk makanan ternakan terutama ayam di negara ini adalah diimport sepenuhnya dari negara luar.

“Jika negara pengeluar itu menaikkan harga bekalan jagung, kita terpaksa akur walaupun memberi kesan kepada harga ayam dan telur tempatan.

“Justeru, bagi mengurangkan kebergantungan bekalan itu, kita bercadang untuk memperluaskan tanaman jagung di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri dan sebagai ahli panel Program Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Dewan Serbaguna MAFI, di sini, hari ini.

Turut hadir dan selaku panel bagi pihak MAFI ialah ialah Timbalan Menteri II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mengenai subsidi harga ayam dan telur, beliau berkata, kerajaan menerusi MAFI memperuntukan kira-kita RM500 juta bagi subsidi sepanjang tempoh empat bulan ini.

Kata Dr. Ronald, selain ayam, kementeriannya juga menyediakan peruntukan bagi subsidi harga telur iaitu 5 sen sebiji sebagaimana diluluskan Jemaah Menteri semalam.

Katanya, kerajaan prihatin dan mengambil serius kenaikan harga ayam dan telur yang berpunca daripada kenaikan bahan makanan dari luar negara, yang turut memberi kesan kepada pemain industri berasaskan penternakan di negara ini.

“Subsidi yang diluluskan kerajaan semalam ialah 60 sen bagi setiap satu kilogram ayam, manakala 5 sen bagi setiap biji telur, yang merupakan bahan keperluan harian rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette