Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berpendapat, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kemungkinan juga Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh PRU14 pada Mei 2023.

Jelas beliau, dengan pelbagai kemelut politik dan ekonomi dalam negara, diyakini PRU15 akan diadakan selepas pemilihan kepimpinan baharu UMNO pada perhimpunan agungnya.

“Pasti semua yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak berani mengambil risiko yang amat besar, kerana kekalahan Barisan Nasional (BN) bermakna kekalahan beliau.

“Malah, kumpulan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Pas juga menyokongnya dan ditambah pula Pakatan Harapan (PH) juga tidak mahu PRU15 diadakan sehingga tamat tempoh Mei 2023.

“Begitu juga, tidak mungkin Ahli Parlimen UMNO termasuk yang bergelar kluster mahkamah akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana jika mereka berbuat demikian, bermakna mereka menjatuhkan kerajaan sendiri, iaitu UMNO. Sanggupkah mereka berbuat demikian?,” soal beliau dalam kenyataannya kepada media, hari ini.

Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyatakan, UMNO yang mengepalai kerajaan sekarang pula terdapat dua kumpulan yang bertentangan kehendak atau pendapat bila PRU15 patut diadakan.

Kata beliau, satu kumpulan mahu PRU15 diadakan secepat mungkin.

“Kenapa mahu dicepatkan? kerana ianya menjamin mereka boleh menjadi calon dan bertanding pada PRU15, sebelum kelayakan bertanding ditarik apabila disabit kesalahan oleh mahkamah nanti.

“Kedua, jika PRU15 diadakan sekarang, kuasa surat watikah berada dalam tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga berkuasa memilih calon untuk bertanding,” katanya.

Kata beliau, satu lagi kumpulan yang mahu PRU15 disegerakan ialah mereka yang tidak berstatus wakil rakyat dan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta merupakan sebahagian besar penyokong Presiden UMNO.

“Jika bertukar presiden, belum tentu mereka ini dapat menjadi calon. Oleh itu, mereka kuat bersuara agar PRU15 disegerakan, seolah mereka tahu kononnya BN akan menang dan dapat jadi YB-YB serta pelbagai pangkat.

“Dari segi perhitungan politik, pemilihan PAU mesti didahulukan adalah strategi terbaik kerana kumpulan yang menentang kepimpinan kluster mahkamah akan melakukan apa saja untuk memilih presiden baru, kemudian diadakan PRU15.

“Anggota Kabinet dari UMNO pun mahu pemilihan PAU diadakan dahulu sebelum PRU15 memandangkan nasib mereka umpama ikan goreng kepanasan dalam kuali,” ujarnya.

Menurut Ibrahim, kumpulan yang mahu PRU15 disegerakan berpegang pada alasan kemenangan besar di PRN Melaka dan keadaan pembangkang yang agak bercelaru ketika ini.

Namun, pada pandangannya, PRU15 tidak sama dengan PRK atau PRN kerana kekuatan tenaga UMNO tidak boleh dikumpulkan seperti dua pilihan raya itu.

Malah, katanya, jika BN menang di PRN Johor, tidak bermakna dalam PRU15 nanti parti itu juga akan beroleh kemenangan.

Beliau berkata, dengan terlaksananya Undi-18 dan pendaftaran secara automatik, golongan anak muda dilihat anti establisment serta majoriti tidak menyokong parti pemerintah.

“Tetapi BN yakin mereka ada cara untuk menarik anak-anak muda. Oleh itu, kita tunggu dan lihat. Apakah ‘cash is king” akan digunakan untuk meraih sokongan anak-anak muda ini?,” soal beliau. – MalaysiaGazette