TANGKAK – Cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib pada 1 Mac depan belum dibincangkan sekali gus mencadangkan kemungkinan ianya tidak dilaksanakan seawal tarikh berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan anggota menteri-menteri kuartet yang akan bersidang untuk perbincangan.
Menurutnya, ia termasuklah jika cadangan itu memerlukan kelulusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun Kabinet.
“Tapi setakat ini kita tak bincang lagi (buka sempadan 1 Mac), maknanya kalau kita tak bincangkan lagi, 1 Mac belumlah saya rasa.
“Kita tunggulah (keputusan), saya tak nak mendahului KKM sebab KKM belum rujuk kepada saya lagi dan mereka tengah buat kajian,” katanya pada sidang media selepas program Ramah Mesra Bersama Jentera BN Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Ir. Hamim Samuri, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.
Selasa lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, keputusan membuka semula pintu sempadan negara perlu dibuat secara terperinci bagi mengimbangi survival industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini.
“Betul kita nak buka (sempadan negara) sebab nak bantu industri pelancongan, tapi kita juga mahu jaga kesihatan rakyat kerana kalau yang datang pelancong membawa jangkitan ianya membahayakan rakyat.
“Kita mesti balancekan (imbangi) antara nak jaga industri dan jaga kesihatan rakyat, maka KKM akan lihat terperinci dan mungkin mencadangkan Kabinet nanti apa yang perlu dilakukan, tapi setakat hari ini belum ada perbincangan lagi untuk buka,” katanya. – MalaysiaGazette