Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sabah menyumbang sebanyak RM0.985 billion atau 5% dari eksport perkayuan negara yang berjumlah  RM19.31 billion setakat bulan November tahun lalu.

Dalam tempoh ini, eksport dari Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 25% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

“Ia adalah peningkatan signifikan meskipun negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19,” kata Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Menurut beliau, antara isu dan cabaran dalam meningkatkan sumbangan sektor kayu kayan kepada pendapatan eksport negara adalah bagi meningkatkan industri hiliran di Sabah.

Produk huluan masih mendominasi prestasi eksport kayu negeri Sabah iaitu berjumlah RM0.946 billion berbanding produk hiliran yang hanya bernilai RM0.039 billion, pada tahun 2021.

Sedangkan, Sabah merupakan negeri yang kaya dengan bekalan bahan mentah yang boleh dimanfaatkan oleh industri hiliran sektor perkayuan negara.

Oleh itu, MTIB sebagai sebuah agensi di bawah Kerajaan Persekutuan akan terus menjalin kerjasama yang erat dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri
Sabah seperti Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah.

Katanya, kerjasama dengan pihak industri seperti Sabah Timber Industries Association (STIA), Sabah Furniture Association (SFA) dan Persatuan Taman Industri Perabot Sabah (PERTIPS) akan terus ditingkatkan.

”MTIB sentiasa memastikan program yang dijalankan, seperti Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), Program Community Farming Buluh, serta pembangunan modal insan, menerusi Pusat Latihan MTIB, iaitu Wood Industry Skills Development Centre (WISDEC) akan terus dinikmati oleh industri perkayuan Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast