Prime Minister cum the Vice-President of UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a Meet and Greet session with the Ledang Community at Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, Johor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 11 FEBRUARY 2022. Johor state election proclamation of emergency postpone state election
Ismail Sabri Yaakob

TANGKAK – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya dapat ditangguhkan jika negara mengisytiharkan darurat, namun ia bukanlah langkah yang akan diambil bagi mengurangkan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya darurat tidak akan dilaksanakan di Johor memandangkan peningkatan kes Covid-19 berlaku di seluruh negara dan bukannya di negeri ini semata-mata.

“Kalau (PRN Johor) nak ditangguhkan, hanya dengan cara umum darurat di negeri Johor itu sahaja, tapi saya percaya perkara ini (darurat) tidak akan berlaku.

“Sebelum ini pun waktu Melaka (PRN Melaka) kes pun ada dan saya sendiri pun pernah mengatakan bahawa kita terpaksa hidup bersama Covid yang dianggap sebagai endemik seperti penyakit-penyakit selesema, denggi dan sebagainya.

“Kita perlu teruskan kehidupan tapi kena kawal dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas program Ramah Mesra Bersama Jentera BN Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Ir. Hamim Samuri, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.

Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2022.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.

Majlis Presiden PH itu dilaporkan berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun kes jangkitan harian Covid-19 menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, beliau yakin pengisytiharan darurat juga tidak boleh diterima rakyat di seluruh negara kerana akan menjejaskan ekonomi rakyat.

“Kalau (hanya) di Johor darurat, negeri lain tak darurat tak boleh juga dan saya dah katakan kita takkan sekat lagi pergerakan rakyat dari segi rentas negeri, rentas daerah dan sebagainya.

“Jadi tidak ada sebab kita nak isytihar darurat di Johor kerana kes (meningkat) semalam meliputi seluruh negara yang mana saya rasa tidak boleh diterima rakyat perkara (darurat) ini,” katanya. – MalaysiaGazette