KUALA LUMPUR – Felda disaran untuk melantik anak peneroka sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu sebagai pengiktirafan kepada anak-anak Felda yang difikirkan layak untuk memegang jawatan tersebut.
“Bagi mengiktiraf belia Felda, saya bersetuju supaya melantik belia Felda sebagai Ahli Lembaga Felda bagi membolehkan belia Felda sama-sama bangunkan negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung MBFM, KAF dan PERSADA di Menara FELDA, malam ini.
Hadir sama adalah Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), RM200,000 kepada Kami Anak Felda (KAF) dan RM100,000 kepada Sekretariat Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (PERSADA).
Jelas Ismail Sabri, sumbangan itu bagi membantu ketiga-tiga persatuan berkaitan Felda mengadakan program untuk membantu golongan belia.
Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, Felda perlu mengoptimumkan tenaga anak-anak peneroka bagi membina modal insan dan juga bakat masa depan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Penekanan itu kata beliau perlu diberikan kepada penggunaan digital dan teknologi tinggi.
“Golongan belia menentukan masa depan negara. Oleh yang demikian, golongan belia perlu dipersiapkan dengan peribadi yang mantap dari segi rohani dan jasmani.
“Belia sebagai aset negara bukan sekadar retorik. Jika kita percaya aset sebagai harta khazanah tak ternilai, maka seperti itulah kita harus memberi nilai tambah berkenaan kepada diri.
“Saya amat berharap MBFM, KAF dan PERSADA memberikan contoh terbaik kepada golongan belia bukan sahaja di Felda tetapi juga seluruh negara. Jadikan platform ini untuk mengasah bakat kepimpinan kerana anda semua adalah pemimpin masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette