Chow Kon Yeow merasmikan program PICKids peringkat negeri di PPV Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang hari ini. - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menafikan dakwaan negeri itu mempunyai masalah kekurangan bekalan vaksin.

Kon Yeow berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), tidak ada masalah bekalan vaksin di negeri ini.

“Berita yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina itu tidak betul dan ia mungkin dilaporkan berdasarkan andaian sendiri tanpa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program PICKids peringkat negeri di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Jailani Muhamed Yunus; Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin serta Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Mohd Said Ibrahim.

Pada perasmian itu Kon Yeow berkata, bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak di negeri ini, sebanyak lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka termasuk di Tapak Pesta Sungai Nibong yang mula beroperasi hari ini.

Manakala empat lagi PPV iaitu di Dewan Sunshine Bayan Baru bagi Daerah Barat Daya, Sunshine Bertam (Daerah Seberang Perai Utara), Tapak Ekspo Seberang Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) dan Dewan MPKK Bandar Cassia (Daerah Seberang Perai Selatan) akan mula beroperasi 14 Februari ini.

“Terdapat 155,800 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun disasarkan menerima vaksin di bawah program PICKids di negeri ini berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Walaupun pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak adalah secara sukarela dengan kebenaran penjaga, namun saya menyarankan agar ibu bapa segera mendaftarkan anak masing-masing untuk menerima imunisasi mereka,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette