Jamel Jani

MELAKA – Bekalan ayam di pasar negeri ini kembali pulih apabila semua peniaga mendapat bekalan mengikut tempahan sekaligus menyaksikan tiada lagi insiden terpaksa mencatu jualan kepada pengguna seperti minggu lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam Melaka di Bachang di sini sekitar jam 11.30 pagi tadi mendapati pangkin jualan peniaga masih dipenuhi puluhan ekor ayam segar untuk pelanggan berbanding jualan licin seawal jam 9 pagi sebelum ini.

Rata-rata peniaga yang ditemui berkata, stok bekalan yang kembali pulih mungkin susulan langkah kerajaan pada Rabu lalu yang bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam.

Keputusan itu diambil dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard pada harga RM8.90 sekilogram.

Peniaga Jamel Jani, 58, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan masalah rakyat sekaligus membela nasib peniaga dan pengguna di seluruh negara.

“Minggu lepas bekalan ayam pukul 10 pagi dah licin, tapi sekarang ni peniaga nak tempah berapa banyak pun ayam dari pemborong mereka bagi, kalau nak 400 ekor pun ada.

“Nampak hari ini bekalan ayam sudah pulih, kiranya subsidi 60 sen sekilogram yang kerajaan bagi kepada penternak itu sangat membantu dan peniaga juga tak perlu risau lagi stok ayam tak cukup,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Ghazali Abu Bakar, 48, bagaimanapun meluahkan pandangan berbeza meskipun mengakui bekalan ayam kini kembali stabil berbanding minggu lalu, namun pemberian subsidi disifatkan berat sebelah yang hanya menguntungkan penternak atau peladang.

“Memang bekalan ayam lebih baik minggu ini berbanding minggu lalu, tapi pihak ladang (penternak) tidak mahu turunkan harga kepada pemborong mahupun peniaga.

“Mereka dapat subsidi 60 sen sekilogram, tapi harga yang dijual kepada pemborong dan peruncit masih sama sedangkan sepatutnya kenalah tanggung kerugian itu bersama-sama bila kerajaan dah tetapkan harga siling RM8.90 sehingga 5 Jun ini,” katanya.

Ke Jok Kwee

Nada sama disuarakan pemborong, Ke Jok Kwee, 60, berkata, walaupun bekalan pulih, pihak penternak yang membekalkan ayam di pasar besar itu sepatutnya berkongsi subsidi diterima itu dengan pemborong dan peniaga.

“Ini tidak, harga yang diberikan kepada pemborong masih sama. Namun saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil langkah segera membantu rakyat dengan subsidi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast