Muhd. Baqiuddin Shamsudin (kanan). Foto Malaysian Football League.

KUALA LUMPUR – Kehadiran ramai pemain baharu memperkuatkan Sri Pahang FC pada musim 2022 tidak menggentarkan Muhd. Baqiuddin Shamsudin yang sedia berjuang mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama seperti mana musim lalu.

Menurut Baqiuddin, setelah lalui musim yang agak cemerlang di Sri Pahang pada 2021 dengan tampil dalam 27 perlawanan serta menjaringkan dua gol, dia mahu momentum itu dapat diteruskan.

Berada di bawah kendalian jurulatih baharu, Christophe Gamel, Baqiuddin akui situasi itu juga menjadi satu cabaran berbeza dalam memikat hati pengendali dari Perancis berkenaan.

“Sukar untuk saya perkatakan peluang bermain pada musim ini kerana ramai pemain baharu diambil Sri Pahang termasuk pemain import selain tiga ke empat pemain kacukan.

“Boleh dikatakan skuad Sri Pahang kali ini sangat berbeza dari musim lalu kerana hampir semua posisi, kami ada ramai pemain berkualiti.

“Biarpun di posisi saya iaitu sayap kiri terdiri ramai pemain tempatan, mereka juga pasti mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Sudah pasti jurulatih baharu akan menilai kemampuan semua pemain dalam pasukan dalam tempoh pra musim dan saya perlu bersungguh-sungguh jika mahu menambat hati beliau,” katanya.

Selain pemain import baharu seperti Mamadou Samassa, Mahmoud Za’tara, Billy Ketkeophomphone dan Johan Martial, antara pemain tempatan yang bersama Sri Pahang ialah Fandi Othman, Faizal Arif, David Rowley dan Azwan Aripin selain turut dalam usaha dinaturalisasikan adalah Lee Tuck serta Sergio Aguero.

Bakal menginjak usia 28 tahun, karier Baqiuddin berada di puncak pada 2021 selepas banyak menghabiskan kariernya di Liga Premier bersama Kuantan FA, PDRM dan UKM FC.

Biarpun bertubuh kecil, Baqiuddin memikat ramai peminat Sri Pahang FC dengan kepantasan serta kelincahannya yang sentiasa menyukarkan pihak lawan.

Sementara itu, Baqiuddin berkata bekerja dengan Gamel banyak memberikan pengalaman baharu selain melihat kehadirannya di Pahang sejak musim lalu melatih skuad Piala Presiden, memberikan kelebihan buat beliau memahami bola sepak tempatan.

“Dia memang seorang yang begitu tegas dengan pemain tetapi mudah didekati, mungkin pengalaman setahun selama di sini memudahkannya faham budaya bola sepak Malaysia.

“Saya rasa beliau mampu membawa Sri Pahang ke tahap lebih baik pada musim ini selepas menamatkan kedudukan di tempat ke-10 Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

“Harapan utama saya ialah mahu mendapatkan satu piala musim ini dengan Sri Pahang, tidak kisah sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia, mungkin musim ini ad peluang, ” katanya. – MalaysiaGazette