KUALA LUMPUR – Satu video tular yang memaparkan seorang wanita sedang memecahkan telur ayam dan dimuat naik di aplikasi TikTok menerima kecaman hebat dari netizen.
Menerusi video berdurasi satu minit lima saat yang dikongsi semula oleh pengguna di laman Twitter, wanita terbabit dilihat mengoyakkan selaput nipis berwarna putih daripada kulit telur sambil mempersoalkan ketulenan telur itu.
Dipercayai, video berkenaan dirakam oleh suami kepada wanita terbabit yang turut sama mendakwa telur yang dibeli oleh isterinya itu daripada sebuah pasaraya sebagai telur tiruan.
Menerusi paparan sama, wanita terbabit juga dilihat memicit telur kuning yang didakwa tidak pecah sambil menyatakan ia bukan telur sebenar.
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang mendakwa pasangan yang dipercayai suami isteri itu tidak pernah mempunyai pengalaman membeli telur segar dari pasar raya sebelum ini.
Seorang pengguna berkata, selaput putih yang dikoyakkan daripada cengkerang telur ayam itu merupakan ‘membrane’ yang melindungi isi telur.
Selain itu, seorang pengguna lain turut memaklumkan kuning telur yang segar sememangnya tidak mudah pecah berbanding telur yang sudah lama berada di rak jualan.
Sehingga kini, video berkenaan telah pun menerima lebih 324,000 tontonan dan lebih 3,000 kali ulang ciap. – MalaysiaGazette
Pihak NSK menafikan bahawa terdapat “telur tiruan” di mana-mana pasaraya NSK, berita dan penyebaran tersebut adalah berita palsu dan semata-mata fitnah yang berniat jahat. Pihak NSK “reserve the rights” dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebar berita palsu, yang boleh menjejaskan nama baik NSK.