KUALA LUMPUR – Kecintaan wanita berusia 36 tahun terhadap jam tangan mewah timbul sejak zaman remajanya ketika bekerja di sebuah butik sejak 18 tahun lalu.
Pada usia yang masih muda, dia bukan sahaja menjadi jurujual malahan belajar semua kemahiran sama ada membaiki, mencuci dan mengenal pasti sama ada jam mewah itu palsu atau asli.
Rubama Arpan atau mesra dipanggil Alice menjadi satu-satunya kakitangan Melayu yang bekerja di situ dan dia mahu membuktikan sesuatu dan mengutip sebanyak mana ilmu dan pengalaman yang ada.
Anak kelahiran Maran, Pahang ini akhirnya membuktikan dia mampu berjaya apabila pernah mencatat jualan tertinggi RM1.8 juta setahun walaupun mengakui tidak memiliki taraf pendidikan sekolah menengah.
“Saya bermula dalam bidang jam tangan pada tahun 2003 di sebuah kedai dengan bermula menjual jenama biasa.
“Empat tahun kemudian, saya berhijrah ke butik yang menjjual jenama mahal. Dari situ, saya belajar bagaimana hendak tahu keaslian sesuatu jam tangan mewah terpakai selain bermula dari asas dengan membuka, memasang dan membaikinya.
“Lama kelamaan baru saya berani jual jam tangan mewah terpakai hingga kini mendapat gelaran Alice jam dan saya satu-satunya wanita Melayu yang menjalankan urusniaga jam mewah terpakai ini,” katanya sambil memberitahu kebanyakan pelanggannya adalah kaum Melayu dalam kalangan usahawan yang gemar membeli dan menjual semula jam tangan mewah sebagai hobi.
Alice menambah, mengambil risiko menggunakan wang simpanan sendiri pada peringkat awal, beliau mula melakukan urus niaga membeli jam tangan jenama Rolex terpakai pada harga RM5,000.
Tanpa disangka, ibu tunggal anak satu ini menjualnya semula pada harga RM20,000.
Malah kata Alice, beliau pernah menjual jam tangan mewah terpakai berharga RM70,000 selepas membeli hanya RM32,000 dan kini harga terkini jam itu melebihi RM100,000.
Tambahnya, harga jam tangan yang paling tinggi pernah dijual mencecah RM1 juta selepas membelinya sekitar RM400,000.
“Bagi yang tidak mahir dengan industri jam mewah, mereka mungkin fikir jenama Rolex sahaja tetapi sebenarnya banyak lagi nama lain yang terkenal seperti Patek Philippe, Piaget dan Richard Mille,” jelasnya.
Ditanya cabaran dalam dunia jam tangan mewah ini, Alice percaya dengan konsep berniaga di mana perkhidmatan terbaik secara profesional perlu ditawarkan.
Namun katanya, transaksi puluhan dan ratusan ribu ringgit itu tidak langsung menggugat keberanian beliau sebagai seorang wanita kerana beliau sudah ‘terlalu masak’ dengan kerenah pelanggannya termasuk niat penipuan dalam kalangan pembeli yang bermasalah.
“Soal keselamatan saya tidak risau sangat namun saya perlu berhati-hati dengan cara pembayaran.
“Ini kerana ada cek yang diapungkan selama beberapa hari namun akhirnya wang tidak masuk padahal barang sudah diserahkan kepada pelanggan,” katanya.
Berkongsi pendapat, Alice memberitahu, melabur dalam jam tangan mewah paling menguntung berbanding melabur dalam sektor hartanah, saham dan emas.
Ini kerana jelas beliau, nilai sesuatu jam tidak pernah turun dan ia tidak bergantung kepada pasaran semasa.
“Bisnes ini tidak terkesan dengan krisis kesihatan yang melanda, malah mendapat perhatian yang baik daripada para peminatnya.
“Memandangkan jam tersebut boleh dijual semula dengan nilai yang tinggi, maka ini adalah peluang untuknya mengumpul koleksi tersebut dan bakal menjualnya di pasaran pada harga yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Mahu bergerak bekerja sendiri, Alice telah membuka perniagaannya di bawah empayar Time & Times Luxe Empire sejak pada tahun lalu.
Dia juga bercadang untuk membuka butik di sebuah pusat beli-belah tidak lama lagi. – MalaysiaGazette