Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan digesa supaya memberi perhatian terhadap kanak-kanak bukan warganegara dan tanpa penjaga agar kebajikan mereka diambil berat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyarankan kerajaan mengkaji semula dasar yang ada terhadap kebajikan kanak-kanak berkenaan.

Katanya, adalah tidak wajar hanya kerana Malaysia tidak menandatangani Protokol Mengenai Pelarian, nasib kanak-kanak pelarian terbiar tanpa pembelaan di negara ini.

“Kami terkejut dengan berita mengenai dua kanak-kanak Myanmar yang mati di Langkawi akibat makan sisa sampah seperti yang dilaporkan semalam.

“Insiden itu amat mengejutkan dan alasan kanak-kanak tersebut tidak ada tempat kediaman dan tidak ada penjaga tidak dapat diterima.

“Kejadian yang dilaporkan sangat menyayat hati, kerana kanak-kanak itu adalah mangsa kepada situasi di negara asal iaitu Myanmar yang menyebabkan mereka melarikan diri ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Justeru, Mohd Azmi berharap suatu penyelesaiaan terhadap kanak-kanak seperti itu dibincangkan oleh pihak kerajaan.

Ujarya, meskipun dalam keterbatasan, bagaimanapun mereka perlu dibantu.

Semalam, media melaporkan, dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi.

Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah