Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia X (AAX) menjalinkan kerjasama terbaharu dengan Teleport dalam usaha untuk memacu penggunaan penuh ruang kargo pesawatnya.

Melalui kerjasama ini, Teleport akan menggunakan sepenuhnya ruang kargo dalam salah sebuah pesawat A330-300 milik AAX untuk tempoh permulaan selama satu tahun.

Teleport, cabang logistik bagi Capital A, akan menggunakan kapasiti tambahan daripada AAX ini untuk memenuhi keperluan perkhidmatan penghantaran kepada para pelanggannya di seluruh Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, AAX sedang berbincang dengan beberapa buah syarikat global utama lain yang memerlukan perkhidmatan kargo udara, terutamanya di negara yang AAX beroperasi dan mempunyai hak penerbangan.

”Walaupun hanya dua bulan selepas penstrukturan semula, kami dapat melihat pengembangan operasi kargo yang semakin ketara.

”Ini sejajar dengan strategi perkhidmatan penerbangan gabungan kami. Kami menjangka pada masa hadapan, pendapatan daripada perkhidmatan kargo akan menyokong strategi laluan kami dan buat pertama kalinya, para penumpang akan menjadi pendapatan sampingan,” katanya.

AAX menyifatkan kerjasama penting baginya yang baru sahaja menjalani proses penstrukturan semula syarikat untuk meningkatkan usahanya sebagai rakan kongsi jangka panjang yang berdaya maju kepada pengendali-pengendali kargo terbesar dunia.

Baru-baru ini, AAX telah mengumumkan kerjasama strategik dengan peneraju logistik global GEODIS, untuk mengendalikan penerbangan kargo mingguan di seluruh Asia Pasifik untuk jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Operasi Teleport, Adrian Loretz menambah, pihaknya berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan AAX dan memanfaatkan pesawat A330 mereka sebagai salah sebuah pesawat kargo utama.

”Selain pesawat kargo khas Teleport iaitu 737-800, pesawat A330 tambahan daripada AAX ini membolehkan kami menyediakan lebih banyak akses kapasiti untuk memenuhi permintaan pelanggan kami di rantau ini dari hab utama kami di Kuala Lumpur dan Bangkok,” ujarnya.

Pada tahun 2022, Teleport akan terus berusaha untuk memperkukuh penggunaan pesawat dan menambah lebih banyak destinasi utama ke dalam rangkaian kami dengan liputan meluas di Asia Tenggara dan lain-lain – selain memanfaatkan rangkaian luas dan kekerapan tinggi oleh pesawat penumpang AirAsia sedia ada.

Ini amat penting kerana Teleport memfokuskan sebahagian besar sumber syarikat untuk memainkan peranan utama dalam rantaian bekalan kerana kami menjangkakan segmen ini akan terus berkembang dengan ketara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast