JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengumumkan kesemua 16 calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Jumaat ini.
Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata maklumat lanjut mengenai pengumuman tersebut akan dimaklumkan sehari sebelum itu.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor berkata apa dijanjikan adalah calon yang diketengahkan itu boleh dipercayai dan tidak lompat parti.
“Kita mahu beri satu jaminan kepada rakyat yang mengundi di Johor ini, keluarlah mengundi.
“Jangan bimbang. Insya-Allah wakil rakyat yang diundi itu tidak akan dapat melompat parti lagi selepas ini. Itu komitmen yang kita berikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Jentera PH + MUDA’ di Pulai Springs Resort di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Amanah bertanding 12 kerusi DUN dan menang sembilan kerusi iaitu Kemelah, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang.- BERNAMA