KAMPAR – Keseronokan empat sahabat mandi-manda di Air Terjun Batu Berangkai di sini hari ini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka dilaporkan mati lemas.
Mangsa, Muhammad Fikri Adam Azmi dan rakanya Muhammad Amirul Hafidz Ma’asor masing-masing berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian berlaku apabila seorang daripada mangsa dilihat lemas di tengah lubuk air terjun itu sebelum dibantu rakannya.
Bagaimanapun, cubaan rakan tersebut gagal sebelum dia turut tenggelam sama.
“Dua lagi rakan mereka yang berada di lokasi itu cuba membantu namun hanya dapat menarik keluar seorang mangsa sahaja manakala seorang lagi tengelam dalam air.
“Susulan itu, dua rakan terbabit segera meminta pertolongan orang awam dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.
“Mangsa yang tenggelam itu dijumpai oleh pihak bomba pada pukul 11.22 pagi pada kedalaman tiga meter manakala mangsa yang berjaya ditarik keluar oleh mereka tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohamad Nazri, keempat-empat lelaki itu berasal dari Selangor dan datang ke Kampar untuk mandi air terjun dan datang dengan menunggang motosikal.
“Mayat kedua-dua lelaki dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette