Gambar fail

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Bangladesh mengambil langkah tegas untuk menangani sindiket penyaluran pekerja asing negara itu dipercayai akan mempercepatkan proses penyerahan dan kelulusan pekerja melalui sistem yang masih belum disahkan setakat ini.

Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) berkata, keputusan yang diambil itu tepat pada masanya apabila Malaysia sedang berusaha untuk memenuhi kekurangan pekerja asing yang teruk hampir semua sektor yang diluluskan dalam pasaran pekerjaan.

“Ini akan membolehkan Kerajaan Malaysia mempercepatkan proses penyerahan dan kelulusan pekerja melalui sistem yang masih belum disahkan setakat ini.

“Sekiranya keputusan untuk menamakan 25 agen pengambilan warga Bangladesh untuk ke Malaysia diluluskan maka Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri mungkin perlu melaksanakan pautan lain untuk pengambilan khas pekerja Bangladesh ke Malaysia dengan tepat bagi membolehkan projek ini berjaya,” kata Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair dalam kenyataan, hari ini.

Sukumaran berkata demikian mengulas laporan media bahawa kerajaan Bangladesh berpendirian tegas untuk melindungi rakyatnya yang mencari kerja di luar negara daripada ‘gangguan’ pihak tertentu untuk mengeksploitasi mereka dan mengenakan perbelanjaan tinggi.

Menurut laporan itu, Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) mendakwa wujud satu sindiket membenarkan penghijrahan pekerja melalui satu sindiket dengan menetapkan hanya 25 syarikat terlibat dalam proses tersebut.

Dakwaan itu dibuat susulan surat dari kerajaan Malaysia yang didakwa meminta mereka berbuat demikian.

Dalam pada itu, PPSMA menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia untuk memberi perhatian yang teliti terhadap status buruh antarabangsa.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya membasmi sindiket penyaluran pekerja asing haram yang akan memberikan kesan kepada negara.

“PAPSMA akan menyokong Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) dalam membasmi kaedah pengambilan pekerja asing secara bersindiket dan dimonopoli ke Malaysia.

“Kami percaya kepada mod pasaran terbuka dan bebas dalam semua entiti perniagaan di masa hadapan untuk ahli-ahli kami,” katanya lagi.

Sebelum ini, PPSMA turut menggesa kerajaan tidak mengehadkan jumlah syarikat yang dibenar membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh bagi mengelak monopoli kumpulan tersebut seperti pernah berlaku beberapa tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast