shaman bomoh molest traditional healer

MELAKA – Seorang bomoh mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita berusia 41 tahun pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Raba’ai Parman, 66, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang telah berkahwin didakwa mencabul dengan menyapukan telur ayam dan limau nipis ke badan seorang wanita berusia 41 tahun.

Kejadian berlaku jam 9 malam di kediamannya di Taman Rambai Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Januari lalu.

Difahamkan, mangsa datang ke rumah tertuduh yang dipanggil ‘atok’ bersama anak dan rakan lelakinya untuk menjalankan rawatan berkaitan masalah emosi.

Pengadu kemudian diminta berkemban untuk rawatan mandian sebelum tertuduh menyapu limau nipis ke seluruh badannya sambil meraba sehingga ke bahagian kemaluan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, lelaki berkenaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua daripada hukuman itu

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM4,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Peguam Santhil Ramu bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menghidap sakit tulang belakang, darah tinggi, kencing manis dan masalah kolesterol yang memerlukan rawatan bulanan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 28 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast