peminta sedekah
Peminta sedekah memakai pelitup muka bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Keseronokan dapat mengaut ‘untung’ cepat dan lumayan dengan hanya bekerja beberapa jam dalam sehari antara faktor mendorong pengemis kembali ke jalanan.

Meskipun rata-rata memberi alasan mengemis untuk kelangsungan hidup, pelbagai pendedahan telah membuktikan mengemis kini menjadi kegiatan menguntungkan sehingga ada yang ‘ketagih’ untuk mengemis kerana seronok melakukan aktiviti berkenaan.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata bermula daripada keseronokan, akhirnya membentuk ‘sikap ketagihan kelakuan’ dalam kalangan pengemis sehingga menyukarkan mereka berhenti biarpun sudah beberapa kali menjalani proses pemulihan.

Beliau berkata secara psikologi, rasa seronok mendapat ganjaran akan menjadi motivasi untuk seseorang individu melakukan perkara sama secara berulang kali sehingga berisiko mengakibatkan ketagihan.

“Mungkin bermula disebabkan keperluan, tidak cukup makan, tiada tempat tinggal lalu dia mengemis tetapi lama-kelamaan ia semakin sebati dengan dirinya sehingga menjadi tabiat dan akhirnya ketagih untuk terus mengemis,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengakui bukan mudah mengubah tabiat manusia khususnya apabila sudah ketagih, Dr Muhammad Muhsin berkata proses pemulihan pengemis sewajarnya tidak tertumpu kepada kursus kemahiran semata-mata sebaliknya turut menekankan aspek kerohanian.

Di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, pengemis yang dibawa ke Pusat Pemulihan Pengemis Desa Bina Diri akan diberi latihan kemahiran seperti menjahit, bertukang dan berkebun bagi membolehkan mereka berdikari apabila kembali ke pangkuan masyarakat.

Bagaimanapun katanya, kemahiran yang diberikan tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya mentaliti dan sikap pengemis tidak diubah.

Beliau berkata pengemis perlu disedarkan bahawa perbuatan mereka ibarat ‘menipu’ apabila mengambil kesempatan ke atas rasa mudah simpati masyarakat kepada golongan sebegini.

“Saya tidak nafikan latihan kemahiran seperti bertukang, menjahit penting tetapi elemen kerohanian, keagamaan, sokongan psikologi adalah ramuan utama yang amat diperlukan golongan ini dalam proses pemulihan untuk mereka keluar daripada kepompong ini.

“Mereka sebenarnya boleh diselamatkan dan diberi peluang untuk menjalani kehidupan lebih baik tetapi sokongan moral sebegini perlu dilakukan secara berterusan walaupun sudah selesai tempoh menjalani pemulihan di jabatan tertentu,” katanya.

Beliau juga mencadangkan pemantuan pergerakan dibuat untuk tempoh tertentu terhadap pengemis yang baru tamat proses pemulihan bagi memastikan mereka tidak kembali terjebak dalam aktiviti tersebut.

Bernama dalam laporan khas sebelum ini mendedahkan aktiviti mengemis khususnya di Kuala Lumpur dan Shah Alam tidak melibatkan kegiatan sindiket sebaliknya dilakukan secara ‘sukarela’ oleh pengemis untuk mendapatkan sumber pendapatan dengan cara mudah.

Op Pintas Bersepadu (Pengemis) yang diketuai pasukan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 9 hingga 12 Feb lepas mendapati 133 pengemis yang ditahan tidak menemukan elemen kesalahan eksploitasi terhadap golongan pengemis.

Berdasarkan data JKM, warga tempatan didapati mendominasi kegiatan mengemis pada 2020 iaitu seramai 1,786 orang manakala warga asing hanya 322.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM Dr Noralina Omar berkata isu ketagihan mengemis tidak boleh dipandang remeh lebih-lebih lagi dalam era pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi rakyat dan negara.

“Ketika pandemik COVID-19, ramai yang dibuang kerja dan sukar mencari pekerjaan, ini dikhuatiri menjadi titik ledakan kegiatan mengemis. Ada yang mengemis untuk selesaikan hutang dan dia sepatutnya berhenti apabila sudah mendapat jumlah wang dikehendaki namun tidak berbuat demikian kerana sudah seronok,” katanya.

Noralina juga berpandangan tidak sepatutnya mereka yang diuji dengan kesusahan khususnya ketika pandemik memilih menjadi pengemis kerana pelbagai bentuk bantuan telah disediakan kerajaan untuk menyantuni golongan tersebut antaranya Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Tabung Bantuan Segera dan pelbagai lagi.

Beliau mengakui bukan mudah membanteras aktiviti mengemis sepenuhnya namun ada ruang yang boleh ditambah baik dalam mengekang kegiatan tersebut sebelum menjadi lebih parah.

Menurut Noralina, antaranya undang-undang lebih tegas perlu diwujudkan selain penguatkuasaan lebih agresif seharusnya dilaksanakan sekiranya kerajaan serius untuk menangani isu pengemis yang boleh menjejaskan imej negara.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast