KUALA LUMPUR – Sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser lewat dikesan menyebabkan ia memerlukan kos rawatan yang tinggi dan peluang sembuh yang rendah kepada pesakitnya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kanser yang lewat dikesan biasanya sudah mencapai tahap 3 dan 4.
Katanya, kerajaan pada tahun ini memperuntuk perbelanjaan sebanyak RM136,993,700.00 untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi.
“Kerajaan perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk merawat kanser. Jumlah ini tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi dan perkhidmatan paliatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Kanser Sedunia 2022 di Institut Kanser Negara (IKN) hari ini.
Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus (115,238 kes) bagi tempoh 2012- 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011.
Dalam masa yang sama, berdasarkan Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian dalam negara pada 2021, kanser didapati menjadi penyebab kematian kedua penting selepas jantung apabila menyumbang 14.8 peratus dari keseluruhan kematian.
Selain itu katanya lagi, dianggarkan satu dari 10 lelaki dan satu dari sembilan wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit ini.
“Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).
“Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus),” ujarnya.
Tambah Khairy, kematian akibat kanser direkodkan menjadi sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus.
Manakala ia menjadi punca keempat kematian di hospital KKM.
“Kanser juga merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus),” tambah Menteri Kesihatan itu.
Bagaimanapun Khairy berkata, gaya hidup sihat boleh mencegah 30 hingga 50 peratus potensi daripada mendapat penyakit kanser.
Justeru itu promosi kesihatan penting sebagai langkah mempengaruhi rakyat ke arah pembudayaan hidup sihat dalam masa yang sama mengurangkan risiko penyakit kanser.
“Ini kerana satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan lima amalan cara hidup berisiko iaitu; pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.
“Promosi pembudayaan hidup sihat juga adalah salah satu teras utama di dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat yan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bermula pada tahun 2021,” katanya lagi.- MalaysiaGazette