KUALA LUMPUR – Kelab Kucing Malaysia menganjurkan Kempen Kesedaran Haiwan Peliharaan Kucing We Love, We Care bagi memberi vaksinasi kepada hampir 50 ekor haiwan jalanan di Ampang hari ini.
Vaksin diberi oleh petugas kesihatan veterinar Klinik Veterinar Putra Nilai kepada kucing liar yang diselamatkan di Khaty’s Cat House.
Kempen tersebut dijalankan sebagai usaha untuk menyelamatkan dan menjaga kesihatan haiwan berkenaan.
Pemilik Khaty’s Cat House, Siti Khatijah Mohd Hassan berkata, kucing-kucing yang ‘dikutip’ itu kebanyakannya dari pasar, tepi jalan malah ada juga kucing diseksa seperti dibakar yang dirawat pihaknya.
Menurut Khatijah, beliau sudah hampir dua dekad memelihara dan menyelamatkan kucing jalanan sebelum memberi peluang kepada keluarga angkat baharu haiwan berkenaan.
Dr. Nurul Alia Azri dari Klinik Veterinar Putra Nilai yang menjadi petugas kesihatan veterinar yang memberi vaksin PUREVAX Feline 4 kepada kucing secara percuma hari ini.
Menurut Dr. Alia, Khaty’s Cat House dilihat bertanggungjawab dan menjaga kesihatan kucing di bawah jagaannya secara menyeluruh.
“Sebab ada yang saya tengok sesetengah pusat penempatan kucing hanya menjaga haiwan tersebut macam nak tak nak sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid yang menganjurkan kempen ini berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pemilik kucing melepaskan haiwan peliharaan mereka dengan alasan haiwan tersebut menjadi pembawa wabak Covid-19.
“Ada juga yang tidak lagi mampu menyara kucing-kucing tersebut kerana kekangan kewangan,” katanya.
Khalid berkata, Kelab Kucing Malaysia akan membuka ruangan untuk penempatan baharu di pusat beli belah seperti AEON, Wangsa Walk setiap Sabtu dan Ahad.
“Setiap kali pameran dibuka, sebanyak 15 hingga 20 ekor kucing berjaya ditempatkan dengan tuan baru. Kita juga mahu pemilik yang bertanggungjawab, sebab ada yang ambil kucing tapi dia bagi makan kepada ular belaannya,” ujarnya.
Khalid yang sudah membuat aktiviti kebajikan itu sejak tahun 1970-an berkata, sudah hampir lebih 10, 000 kucing telah diselamatkan dan ditempatkan bersama tuan baharu.
“Saya mempunyai cita-cita satu hari nanti jumlah kucing jalanan di negara ini akan berkurangan dan saya minta orang ramai untuk tunjuk kasih sayang kepada haiwan peliharaan ini,” pesannya. -MalaysiaGazette