Video tular insiden kereta curi dilarikan seorang wanita yang memiliki 14 rekod jenayah dan dadah akhirnya dicekup dan disiasat oleh polis dalam kejadian hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang melarikan sebuah kereta Honda City berwarna putih yang dihentikan di tepi jalan dalam keadaan enjinnya masih hidup di Setapak Wangsa Maju di sini akhirnya berjaya dicekup orang awam.

Suspek memandu kereta curi itu dalam keadaan bahaya dan gopoh sehingga menyebabkan kerosakan kepada kenderaan lain di atas jalan raya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan  satu video tular berdurasi 1 minit 31 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter https://twitter.com/ptryhmzh/status/1494228906215235585 yang memaparkan kejadian melarikan kenderaan jenis Honda City warna putih di lampu isyarat Wangsa Maju.

“Hasil siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku pada petang tadi, lebih kurang 2.30 petang di Hadapan Kolej Vokasional Setapak, Jalan Genting Klang.

“Dalam kejadian ini, pengadu seorang lelaki tempatan bersama isterinya telah keluar dari motokar mereka tanpa mematikan enjin kenderaan untuk tujuan mengangkat barang keperluan untuk anak yang dihantar ke Kolej Vokasional itu.

“Tiba-tiba pengadu mendapati keretnya telah dibawa lari oleh suspek perempuan bangsa tidak pasti menghala ke pusat bandar,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Suspek wanita yang tular selepas melarikan  sebuah kenderaan di Setapak Wangsa Maju berjaya dicekup.

Tambah beliau, pengadu kemudianya meminjam motosikal milik pengawal keselamatan di lokasi kejadian dan bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat satu laporan polis mengenai kejadian itu.

Semasa tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, pengadu yang mengejar suspek mendapati keretanya terlibat dalam kemalangan.

“Pengadu juga mendapati suspek wanita tidak dikenali itu berjaya ditangkap oleh orang awam di lokasi lampu isyarat itu dan kemudiannya diserahkan kepada polis .

“Hasil semakan polis mendapati suspek berumur 38 tahun dan mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan juga mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Terdahulu video berdurasi seminit 31 saat itu menunjukkan wanita itu melarikan kereta putih sebelum melanggar kenderaan di hadapan yang berhenti pada lampu isyarat merah.

Orang awam berjaya menghalang kereta itu lalu mengheret keluar suspek menerusi tingkap kereta yang dipecahkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast