Penduduk Sydney tidak dibenarkan ke pantai sehingga kedudukan jerung dikenal pasti. foto Reuters

SYDNEY – Beberapa pantai Sydney termasuk Bondi dan Bronte ditutup pada Khamis selepas seorang perenang terbunuh diserang jerung.

Ia adalah kes kematian pertama di pantai bandar itu dalam tempoh 60 tahun sejak 1963.

Tali gendang, yang digunakan untuk mengumpan jerung, telah dipasang berhampiran lokasi serangan manakala dron dan manusia dikerah untuk mengesan sama ada jerung itu masih berada di kawasan itu.

Video yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan seekor jerung menyerang seseorang pada petang Rabu di luar Pantai Little Bay.

Setakat ini polis masih belum mendedahkan identiti mangsa.

“Kejadian yang berlaku ini benar-benar mengejutkan komuniti kami,” kata Dylan Parker, Datuk Bandar Randwick.

Jurucakap Jabatan Industri Utama New South Wales berkata, ahli biologi jerung percaya jerung putih sepanjang sekurang-kurangnya 3 meter itu kemungkinan melakukan serangan tersebut.

Serentak itu, acara amal renang di pantai berhampiran yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini telah dibatalkan.

Penganjur Murray Rose Malabar Magic Ocean Swim telah mempertimbangkan untuk menangguhkan acara ini hingga bulan Mac, tetapi kemudian memutuskan untuk membatalkannya selepas berunding dengan majlis tempatan.

Pihak berkuasa mengarahkan orang ramai supaya tidak berada di dalam air pada hari musim panas kerana suhu hampir 30°C (86°F). – Reuters ((https://www.reuters.com/world/asia-pacific/sydney-beaches-close-after-first-fatal-shark-attack-60-years-2022-02-17/)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast