Norlela.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang menyediakan teknologi peranti perubatan mudah alih bagi 20 buah ambulans dan wad rawatan pesakit Covid-19 di hospital di negeri ini.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata, penggunaan teknologi peranti perubatan mudah alih itu akan membantu diagnosis awal pra-hospital sekali gus mempertingkatkan masa respons panggilan kecemasan.

Jelas beliau, sebanyak RM1.06 juta diperlukan untuk penyediaan peranti perubatan mudah alih tersebut

“Peruntukan itu dirancang untuk membeli peranti ultrasound, electroensefalogram (EEG) dan elektrokardiogram (ECG) khususnya untuk kegunaan dalam ambulans bagi memudahkan pegawai perubatan mengenalpasti kecederaan dalaman yang dihidapi pesakit.

“Peranti ultrasound mudah alih tersebut mampu memberikan imbasan awal organ, abdomen, saraf dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Norlela berkata, imbasan EEG merupakan teknologi terkini yang belum digunakan di Malaysia, merupakan alat untuk mengukur aktiviti otak (khasnya buat pesakit strok atau pesakit tidak sedarkan diri).

Kata beliau, lebih memudahkan katanya kesemua bacaan dan imbasan tersebut mampu dipamerkan menerusi gajet dan boleh dikongsi melalui siaran langsung dan kiriman melalui Whatsapp dan emel.

“Sebelum ini kita mendapat permintaan daripada Pengarah Jabatan Kecemasan dan pegawai perubatan telah meminta memperbanyakkan ‘Multipurpose Scanner’ (curve) secara spesifik untuk diletakkan di dalam ambulans untuk mengenalpasti kecederaan dalaman secara ultrasound.

“Dengan teknologi yang digunakan, pegawai perubatan di hospital boleh menerima visual kecederaan pesakit yang dihantar oleh paramedik dari ambulans secara jelas dan terperinci, sekali gus pesakit boleh terus dihantar ke bilik bedah untuk rawatan.

“Keadaan ini secara tidak langsung dijangka dapat  mengurangkan 90 peratus bilangan pesakit yang perlu datang dan tunggu di Jabatan Kecemasan sebelum jumpa doktor untuk membuat ujian dan pemeriksaan awal sebelum menerima rawatan,” kata Norlela.

Tambahnya, pesakit Covid-19 boleh melakukan pemeriksaan diagnostik guna ‘wireless handheld devices” ini di wad tanpa perlu di hantar ke makmal dan memerlukan pemindahan pesakit Covid-19 yang menyukarkan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast