Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi penjelasan kepada rakyat berhubung tindakan kerajaan memberi kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika varian Omicron sedang mengganas dalam negara.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ia susulan kerajaan dilihat melakukan beberapa pemansuhan SOP termasuk memendekkan tempoh pengasingan diri bagi kontak rapat pesakit Covid-19.

Jelas beliau, sungguhpun tahap kemusnahan Omicron didakwa tidak berbahaya berbanding varian Delta, namun ia tidak boleh dipandang remeh kerana mungkin berlakunya penggabungan pelbagai virus dan wujud lagi varian baharu yang lebih ganas.

“Kita tuntut Khairy Jamaluddin beri penjelasan berhubung pelonggaran SOP yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini dan adakah kerajaan mahu menamatkan pandemik Covid-19 dengan strategi imuniti kelompok.

“Perancangan untuk membuka semula sempadan telah menunjukkan bahawa kerajaan bersiap sedia menamatkan pandemik itu dengan strategi imuniti kelompok.

“Sehubungan itu, sebelum melaksanakan strategi imuniti kelompok kerajaan perlu mengambil kira isu ramai rakyat negara ini mempunyai masalah kesihatan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan gula darah tinggi, penyakit ini akan merosakkan organ dan sistem imun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Tong Keong, pihaknya berharap pasukan yang diketuai Khairy Jamaluddin membuat pertimbangan menyeluruh sebelum memutuskan strategi imuniti kelompok untuk menamatkan pandemik Covid-19.

“Kita harap kerajaan mengambil iktibar negara lain yang gagal menamatkan pandemik ini dengan strategi imuniti kelompok untuk mengelakkan negara kita menghadapi masalah yang mencabar khususnya apabila negara diserang varian baharu.

Dalam perkembangan lain, Tong Keong menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan penutupan sekolah susulan kes jangkitan Covid-19 melibatkan kanak-kanak kian meningkat.

“Kita harap KPM melaksanakan semula pembelajaran secara online susulan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak merekodkan peningkatan dengan lonjakan 160 peratus dalam tempoh seminggu yang lepas,” jelas beliau. – MalaysiaGazette