Khairy Jamaluddin Abu Bakar

BATU PAHAT –  Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyalurkan segala maklumat mengenai pemberian vaksin kepada kanak-kanak memandangkan masih ramai ibu bapa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Menterinya, Khairy Jamaluddin memahami ibu bapa berkemungkinan cenderung untuk mengambil pendekatan itu kerana beberapa faktor termasuk keselamatan dan keberkesanan vaksin dalam kalangan anak-anak mereka.

“Saya lihat masih ramai nak tunggu dan lihat. Saya harap jangan terlalu lama tunggu dan lihat, kita tak mahu terdedah walaupun kes kemasukan hospital kanak-kanak tidak tinggi seperti dewasa ada yang mengalami sangat serius

“Saya tidak mahu anak-anak kita terdedah kepada Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Klinik Kurnia PeKA B40 di sini petang tadi.

Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sebuah pusat beli belah untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Khairy memberitahu, pihak mereka juga akan meningkatkan kapasiti 1, 000 sehari bagi tujuan program berkenaan bermula minggu depan.

Menurutnya, walaupun kes kematian dan kemasukan hospital dalam kalangan kanak-kanak tidak begitu tinggi berbanding kes orang dewasa, perkara itu jelasnya tidak mustahil akan berlaku.

“Perkara ini tidak mustahil dan ada juga yang masuk hospital dan ada yang mengalami gejala sangat serius seperti Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).

“Sudah pasti kita akan memberi kapasiti lebih tinggi lagi terhadap vaksinasi kanak-kanak ini dan tadi saya nampak ramai juga yang mendapatkan dos penggalak untuk melindungi diri mereka dan untuk kekalkan status vaksinansi lengkap pada 1 Mac nanti,” katanya.

Statistik semasa menunjukkan pendaftaran bagi mendapatkan vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun hanya berkadar 15 peratus sejak ia dibuka kepada orang ramai masih di tahap membimbangkan.- MalaysiaGazette