Seorang wanita warga emas tersilap memasuki lorong motosikal ketika memandu di Kilometer 31.1 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah Klang ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Akibat panik, seorang wanita warga emas tersilap memasuki lorong motosikal ketika memandu kereta di Kilometer 31.1 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dekat sini baru-baru ini.

Warga tempatan berusia 69 tahun itu memandu dari kediamannya di Banting namun tersesat jalan ketika menuju ke rumah anak saudaranya di Pandamaran sekitar pukul 7.24 malam pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, pemandu itu mahu membuat pusingan U tetapi kerana panik dia telah tersalah masuk ke laluan motosikal.

“Apabila menyedari dia berada di laluan motosikal, pemandu bertindak memberhentikan kenderaan sebelum mengundurkannya dengan perlahan dan keluar semula ke laluan asal di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramsay, pemandu terbabit kemudiannya menghubungi anak saudara untuk mengambilnya di tepi lebuh raya Kesas.

Jelasnya lagi, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan dengan kenderaan lain atau kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, akaun Dashcam Owners Malaysia berkongsi sebuah rakaman dari kamera papan pemuka yang memaparkan sebuah kereta jenis Suzuki berwarna putih memasuki lorong motosikal.

Dalam video berdurasi 50 saat itu, pemandu terbabit yang datang dari arah kanan jalan secara tiba-tiba terus memasuki lorong motosikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.