E Sundra Rajan

MELAKA – Padah terpedaya dengan gambar suami artis terkenal bergelar Datuk Seri yang juga jutawan perniagaan yang dijadikan tarikan, seorang guru menjadi antara lima mangsa terbaharu penipuan sindiket skim pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian RM84, 410.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, kesemua empat mangsa terbabit berusia antara 30 hingga 45 tahun bekerja sebagai guru, pesara kerajaan dan pekerja swasta.

Menurutnya, kejadian berlaku sejak awal tahun lalu sehingga 31 Januari lalu iaitu tiga kes di Melaka Tengah dan masing-masing satu kes di Jasin dan Alor Gajah yang mengakibatkan setiap mangsa kerugian antara RM10,000 hingga RM25,000.

“Modus operandi sindiket dikenali pelaburan Al Kahtifah Trust adalah membuat iklan di laman Facebook mengenai skim pelaburan patuh syariah menggunakan gambar influencer, artis atau insta famous sebagai tarikan untuk menyakinkan bakal ‘pelabur’.

“Terbaharu, sindiket menggunakan gambar seorang jutawan perniagaan yang juga suami artis terkenal bergelar Datuk Seri yang baharu melangsungkan perkahwinannya untuk memperdaya mangsa.

“Selepas menekan link Whatsapp di Faceobook, mangsa akan dilayan pekerja syarikat yang menerangkan akan memperoleh keuntungan RM9,875.40 hanya masa dua hari hanya dengan pelaburan RM500,” katanya.

Menurut Sundra, dalam kejadian terbaharu 31 Januari lalu, mangsa guru perempuan berusia 36 tahun kerugian RM14,630 untuk pelbagai bayaran lain setelah membuat bayaran modal pelaburan RM500 ke akaun individu yang tertentu.

“Selepas bayaran modal RM500 dimasukkan, mangsa akan dihubungi lagi oleh suspek yang mengarahkannya membuat pelbagai bayaran lagi atas alasan untuk menebus wang keuntungan RM9,875.40.

“Antara alasannya bayaran adalah untuk komisyen ejen, bayaran pemindahan wang dan sebagainya sebelum akhirnya suspek akan menyekat nombor telefon mangsa apabila menyedari telah ditipu,” katanya.

Tambahnya, JSJK kini yang diketuainya dan dibantu timbalannya, Deputi Superintenden Azmi Aziz kini sedang melengkapkan bukti sebelum mengesan dan menahan suspek sindiket berkenaan yang kini merekodkan 25 kes dengan jumlah kerugian RM420,135 di seluruh negara.

“Daripada 25 kes ini, Melaka mencatatkan kes tertinggi sebanyak lima kes berbanding negeri-negeri lain antara satu hingga empat kes,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast