KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar memohon maaf kepada peserta program bersama usahawan semalam, kerana terlupa menanggalkan topi lambang dacing yang dipakainya ketika menyampaikan ucapan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memaklumkan, beliau memakai topi itu kerana ketika sampai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Pulai, Johor kebetulan hujan.
“Saya minta maaf. Yang ini (topi) tak sengaja.. terlupa nak buka topi.. hujan tadi (ketika) saya sampai.
“Jadi, itulah.. lambang ni (dacing Barisan Nasional) jangan lupa lah,” katanya yang disambut tepukan para hadirin yang juga usahawan di majlis berkenaan.
Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor tiba di Johor semalam, bagi menghadiri beberapa program anjuran kementeriannya dan parti.
Bagaimanapun, ketika menghadiri program bersama usahawan, beliau terlupa memecat topi BN yang dipakainya sejak awal.
“Semalam dalam satu program dialog bersama usahawan, saya terlupa untuk tanggalkan topi BN yang saya pakai. Saya mohon maaf,” katanya ringkas menerusi hantaran facebooknya.
Pada masa sama, Noh turut berkongsi video itu. – MalaysiaGazette