Kakitangan Lembaga Zakat Selangor memberikan bantuan kewangan bulanan dan bantuan bina rumah baru kepada Mardianis Sulim selepas kediamannya hancur akibat banjir ketika di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2022.

SHAH ALAM – Sanggup bergadai nyawa demi insan tersayang.

Itu pengorbanan yang dilakukan oleh Abdul Rahman Osman, 53, ketika menyelamatkan isterinya, Rosidah Dahlan, 53, sewaktu musibah banjir melanda keseluruhan Kampung Bukit Lanchong di sini, pada 18 Disember lalu.

Ketika itu, tiada perkara lain yang difikirkan oleh Abdul Rahman kecuali membawa Rosidah yang menderita sakit buah pinggang ke tempat lebih selamat.

Bekas tukang kebun itu turut menyifatkan musibah yang melanda tempoh hari sebagai banjir terburuk yang pernah melanda kawasan berkenaan.

Mengimbau kembali detik-detik kejadian, Abdul Rahman berkata, paras air meningkat dengan begitu cepat sehingga tiada harta benda yang sempat diselamatkan olehnya.

Berbekalkan kudrat yang ada, Abdul Rahman kemudiannya mendukung Rosidah yang sudah tidak berdaya untuk meranduk air banjir separas pinggang.

Pada ketika itu, kedua-dua mereka bersama anak perempuan serta cucu sedang cuba mencari tempat yang lebih tinggi bagi menyelamatkan diri.

“Saya keluar ke jalan besar, tengok air dah tahap pusat jadi terpaksa bawa isteri dengan mendukungnya kerana dia sudah tidak larat untuk berjalan.

Reaksi Mardianis Sulim selepas menerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan bina rumah baru daripada Lembaga Zakat Selangor selepas kediamannya hancur akibat banjir ketika di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2022.

“Perlahan-lahan kami meredah banjir menuju ke Bukit Kembar namun disebabkan paras air semakin meningkat, saya berusaha mencari sebuah tong yang boleh memuatkan isteri.

“Nasib saya agak baik kerana berjaya menemui sebuah tong air berwarna hitam, saya kemudiannya meminta isteri bersama cucu serta kanak-kanak lain pada ketika itu untuk duduk didalamnya dan saya tarik mereka,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di kediamannya di Lorong PPRT 3, Kampung Bukit Lanchong di sini, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Abdul Rahman berkata, dia menarik tong tersebut menuju ke sebuah premis membuat keranda dan batu nisan.

Ini kerana, Kawasan di belakang premis berkenaan lebih tinggi bagi menunggu pasukan penyelamat tiba.

Tambahnya lagi, kesemua mereka bersama beberapa penduduk di kawasan tersebut menghabiskan sepanjang malam berteduh di sebuah bangsal kosong sebelum diselamatkan kira-kira pukul 5 pagi.

“Apa yang saya khuatiri adalah keadaan isteri kerana saluran tiub yang ditebuk pada perutnya bagi kegunaan dialisis perlu dijaga rapi supaya tidak dijangkiti kuman.

“Apa kan daya, paras air yang tinggi ketika itu telah menyebabkan saluran tersebut terkena air namun mujur tiada apa yang berlaku selepas itu,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Rosidah, dia dikesan menghidap buah pinggang tahap empat sekitar  2008 sebelum penyakitnya itu bertambah kronik pada 2017.

Oleh kerana penyakit yang dideritainya semakin serius, Rosidah terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pekerja pembersihan sekolah selepas lebih 18 tahun berkhidmat.

Cerita Rosidah yang merupakan penduduk asal Kampung Bukit Lanchong, dia mula menjalani proses dialisis sejak 2015 sehingga sekarang.

“Sudah dua tahun saya jalani dialisis di rumah, itu pun gunakan surat jaminan (GL) anak untuk menyewa mesin tersebut.

Mangsa banjir, Mardianis Sulim melihat keadaan rumahnya yang telah musnah akibat kayu balak yang menghentam semasa banjir ketika di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2022.

“Kalau tidak sebelum ini terpaksa berulang alik ke Hospital Serdang, memang kami tak mampu kerana kos yang tinggi,” ujarnya.

Kisah getir Abdul Rahman menyelamatkan isterinya ketika banjir baru-baru ini mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang tampil menyalurkan bantuan bagi membaik pulih rumah mereka yang rosak.

Menurut Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling LZS, Mohammad Sharil Ritin, sejumlah RM28,962.20 diperuntukkan oleh LZS bagi kerja-kerja baik pulih kediaman milik Abdul Rahman.

“Rumah ini kita telah luluskan (peruntukan) dalam masa terdekat kontraktor akan membaiki rumah ini.

“Sebab apa kita kena percepatkan sebab isterinya merupakan seorang pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis di mana dia perlu ada tempat yang bersih untuk buat rawatan,” katanya.

Jelas Mohammad Sharil lagi, Abdul Rahman juga merupakan penerima bantuan kewangan dan makanan secara bulanan dari LSZ. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan