Pengunjung, Saiful Bahari bercakap pada Malaysia Gazette berkenaan isu ibu bapa yang masih takut untuk membernarkananak mereka untuk divaksin di hadapan pusat membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kurang yakin dengan vaksin Covid-19 dan kesannya terhadap kanak-kanak adalah punca ibu bapa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Saiful Bahari Said, 47, tidak menolak kemungkinan laporan yang tular di media sosial berkaitan kesan buruk vaksin terhadap kanak-kanak mempengaruhinya yang menyebabkan beliau tidak bersedia membenarkan anaknya yang berusia lapan tahun menerima vaksin.   

Dalam masa yang sama, penyakit asma yang dihadapi anaknya itu turut menjadi punca beliau tidak yakin anaknya divaksin buat masa ini. 

“Saya nak tunggu dulu bila ramai dah kanak-kanak terima vaksin baru kita buat keputusan. Sekarang masih rasa 50-50 macam kita dulu takut-takut tapi sekarang dah ambil dos penggalak juga.

“Sabar dulu, tak mengapa bagi saya, tengok macam mana.

Bukan apa, sebab anak saya ada penyakit asma. Sebab vaksin ni kan kesannya kita tanggung sendiri itulah kita nak jarakkan sedikit masa tambah beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette..

Namun demikian, tidak bersedia untuk anak bongsunya diberikan vaksin bukanlah bermaksud Saiful adalah antara golongan anti vaksin, sebaliknya beliau dan isteri, termausk lima lagi anaknya, telah menerima dos penggalak.

Sebaliknya beliau hanya mahu lebih berhati-hati terhadap anak yang sepenuhnya di bawah tanggungjawabnya dan isteri.

“Bukan anti vaksin sebab kami semua sudah vaksin. Cuma vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak ini kita curiga. Sebab anak-anak lahir pun divaksin,” tambahnya.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan agar ibu bapa tidak mengambil masa terlalu lama, sebelum memutuskan pemberian vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

Jelas beliau, buat masa ini hanya vaksinasi yang mampu memberi perlindungan daripada kesan dan gejala yang lebih teruk akibat Covid-19. – MalaysiaGazette