KUALA LUMPUR – “Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin” merupakan tema Hari Tentera Ke-89 pada tahun ini.
Menurut Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, tema berkenaan dipilih berdasarkan komitmen yang dilaksanakan secara berterusan oleh tentera darat.
Dalam masanya, beliau berkata, kebajikan warga tentera darat juga perlu diutamakan.
“Perlu juga memenuhi keperluan kebajikan meningkatkan kesejahteraan warga tentera darat termasuk pegawai, anggota dan keluarga.
“Kesejahteraan yang dimiliki oleh seluruh warga tentera darat adalah penting bagi meningkatkan moral serta semangat di dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan dan kepentingan negara serta tugas-tugas lain membantu kerajaan apabila diperlukan,” katanya ketika majlis Pra Pelancaran Hari Tentera Ke-89 di Wisma Perwira Tentera Darat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tema yang dipilih adalah selari dengan teras utama Pelan Tindakan 2022 Kementerian Pertahanan.
Menurut Zamrose, sebanyak enam fokus telah ditetapkannya untuk dilaksanakan oleh Tentera Darat pada tahun ini.
Ia melibatkan kebajikan dan kesejahteraan warga tentera darat, meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan aset, ujarnya.
“Selain itu adalah penstrukturan dan penyusunan organisasi tentera darat, pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah.
“Juga meningkatkan diplomasi pertahanan dan membantu kerajaan dalam military operation others than wars (operasi ketenteraan selain peperangan),” tambahnya.
Lintas langsung dari 12 lokasi di seluruh negara turut diadakan pasa majlis tersebut bagi merealisasikan pelaksanaan Tonggak Ke-3 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
Hari Tentera Darat tahun ini akan diadakan pada 1 Mac di Port Dickson. – MalaysiaGazette