Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan masih belum menerima laporan penuh forensik dan patalogi berhubung kematian seorang remaja berusia 13 tahun selepas 18 hari menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di laman Twitter berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang bekerjasama rapat dengan pasukan klinisian dan forensik dalam siasatan mencari punca kematian remaja itu.

“Saya masih belum menerima laporan penuh forensik dan patalogi dalam isu kematian remaja itu,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan takziah lepada ibu bapa remaja berkenaan.

Respon Dr Noor Hisham menyusul selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan beliau mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu.

Khairy juga menerusi ciapan Twitternya merakamkan takziah kepada ibu bapa mangsa.

Selepas kematian remaja itu dikaitkan dengan pengambilan vaksin, ibu bapanya telah tampil mendesak KKM menjalankan siasatan terperinci untuk mendapatkan punca kematian anaknya. -MalaysiaGazette