KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjangkakan sebanyak 10,000 peniaga tempatan khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan menggunakan aplikasi e-dagang baharu iaitu e-Desa menjelang Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, menerusi platform baharu itu, lebih banyak produk tempatan dapat dipasarkan di peringkat global sekaligus meningkatkan ekonomi kawasan luar bandar.

“Platform ini mampu mengetengahkan produk keluaran anak-anak tempatan khususnya golongan IKS ke peringkat lebih tinggi.

“Setakat ini kita telah mempunyai 500 peniaga yang berdaftar dengan kita dan jumlah itu akan terus bertambah melalui lima modul yang kita sediakan untuk peniaga IKS sebelum menjual produk mereka di e-Desa.

“Kita jangka sehingga 20,000 peniaga akan menggunakan aplikasi E-Desa berikutan trend e-dagang yang memberangkangkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan aplikasi dan platform e-Desa yang kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Desa Mall dan syarikat penghantaran, Delyva.

Dalam pada itu, KPLB menyokong sepenuhnya platform baharu e-Desa, sesuai dengan namanya yang kelompok masyarakat luar bandar, seiring dengan tuntutan perniagaan dalam talian ketika ini.

“E-Desa akan memberi peluang dan ruang kepada produk-produk orang kampung dipasarkan dengan lebih meluas.

“Aplikasi ini bakal menjadi aplikasi wajib ada bagi setiap rakyat Malaysia terutama dalam membeli serta mendapatkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette